Projek pendalaman Sungai Klang bermula semalam: MB

Kerja-kerja mendalam dan melebarkan Sungai Klang sedang dilakukan bagi persediaan menghadapi musim banjir akan datang. - Foto Bernama
Kerja-kerja mendalam dan melebarkan Sungai Klang sedang dilakukan bagi persediaan menghadapi musim banjir akan datang. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Projek pendalaman serta pelebaran hilir Sungai Klang sepanjang 56 kilometer (km) bagi mengatasi masalah banjir di Selangor telah bermula semalam dan dijangka selesai dalam tempoh lima tahun.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, projek itu, yang diuruskan oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) menerusi subsidiarinya Landasan Lumayan Sdn Bhd, dilaksanakan secara berperingkat membabitkan anggaran kos RM700 juta.

Beliau berkata, ia meliputi 12 zon menerusi empat blok utama kawasan titik panas banjir sekitar sungai berkenaan, bermula dari Mid Valley, Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang, dekat sini.

"Kerja-kerja pendalaman dan pelebaran ini akan memberi tumpuan kepada dua blok antaranya termasuk kawasan Taman Sri Muda dan kita sasarkan 30 peratus untuk kawasan ini siap hujung tahun ini. Kawasan SA06 iaitu Kota Kemuning, lokasi kita pada masa ini akan dijadikan tapak operasi awal.

"Untuk fasa awal sejauh 10km ini, ia bakal membabitkan kerja mengorek sungai sehingga tiga meter di kawasan berhampiran perumahan Taman Sri Muda,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan projek berkenaan di sini pada Selasa.

Kerja-kerja mendalam dan melebarkan Sungai Klang sedang dilakukan.- Foto: Bernama
Kerja-kerja mendalam dan melebarkan Sungai Klang sedang dilakukan.- Foto: Bernama

Amirudin berkata, secara keseluruhan projek tersebut bakal memberi manfaat kepada 500,000 penduduk sekitar, terutama di kawasan titik panas banjir antaranya Taman Sri Muda, Bukit Lanchong, Kampung Tengah dan Kampung Baru Hicom.

Katanya, proses pendalaman itu akan meningkatkan kapasiti tampungan air serta mengurangkan risiko banjir.

Artikel Berkaitan:

Amirudin berkata, projek pendalaman dan pelebaran hilir Sungai Klang itu turut merangkumi pengukuhan tanah tebing sungai dan pembinaan permatang (bunds) yang merupakan inisiatif pertama dijalankan di bawah Pengurusan Sumber Air Bersepadu (IWRM).

"Ia merupakan salah satu projek berimpak tinggi dan pembangunan mampan di bawah Zon Pembangunan Ekonomi Selangor Maritime Gateway (ZPE SMG) dan Rancangan Selangor Pertama (RS-1)," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!