Penuntut kolej maut kemalangan
KUALA LUMPUR - Seorang penuntut Kolej Islam Antarabangsa maut dalam kemalangan selepas motosikal yang ditungganginya berlanggar dengan sebuah bas RapidKL.
Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari tadi, mangsa Nur Alia Abdul Razak,19, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Jalan Sentul Pasar menghala ke Jalan Gombak melalui Jalan Kampung Bandar Dalam.
"Siasatan mendapati mangsa yang berasal dari Pulau Pinang itu menunggang motosikal seorang diri dan dikatakan cuba memintas sebuah kenderaan.
“Bagaimanapun, mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan masuk ke laluan bertentangan sebelum berlanggar dengan sebuah bas RapidKL yang dipandu seorang lelaki berusia 36 tahun," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pertembungan itu menyebabkan mangsa terjatuh dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat."Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!