Tiga peguam termasuk Zaid saman Badan Peguam Malaysia

Datuk Mohd Zaid Ibrahim
Datuk Mohd Zaid Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga peguam termasuk Datuk Mohd Zaid Ibrahim menyaman Badan Peguam Malaysia dan presidennya berhubung kenyataan memfitnah yang mendakwa mereka menyalah guna dan mencemarkan sistem keadilan semasa mengendalikan rayuan akhir Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes berkaitan dana SRC International Sdn Bhd.

Mohd Zaid, Liew Teck Huat dan Rueben Mathiavaranam selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST) di Mahkamah Tinggi di sini pada 30 September lepas dengan menamakan Badan Peguam Malaysia dan Karen Cheah Yee Lynn sebagai defendan pertama dan kedua.

Peguam Lim Qi Si, yang mewakili ketiga-tiga plaintif berkata, ketika pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Nuur Fatimahtul Zuhra Khairuddin pada Selasa, mahkamah menetapkan pengurusan kes selanjutnya pada 13 Disember ini.

"Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua defendan memfailkan pernyataan pembelaan mereka pada atau sebelum 7 November dan plaintif perlu menjawab pembelaan itu pada atau sebelum 28 November,” kata peguam itu ketika dihubungi.

Dalam pernyataan tuntutan, ketiga-tiga plaintif mendakwa pada 19 Ogos lepas, defendan kedua (Cheah) telah secara salah dan berniat jahat menerbitkan kenyataan akhbar bertajuk "Abuse of Process Brings Disrepute to Our Justice System" pada laman web rasmi defendan pertama dan kenyataan itu turut diterbitkan oleh The Edge Markets, Malay Mail dan The Star.

Mereka mendakwa kenyataan akhbar itu antara lain membawa maksud mereka telah menyalahgunakan proses mahkamah dan melakukan salah laku profesional dengan menerima kes daripada Najib serta perlu menghadapi prosiding tatatertib kerana menjatuhkan maruah profesion guaman.

Ketiga-tiga peguam itu mendakwa defendan gagal atau enggan menghubungi mereka untuk mengesahkan fakta-fakta sebelum mengeluarkan kenyataan akhbar selain tidak memberi peluang kepada plaintif untuk menyatakan pendirian daripada pihak mereka dan versi cerita mereka.

Dakwa kesemua plaintif, aduan salah laku terhadap mereka bagi pengendalian dalam kes rayuan Najib sepatutnya dibuat dan dirujuk terlebih dahulu kepada Lembaga Tatatertib di bawah Seksyen 99 (1) Akta Profesion Undang-undang, namun kedua-dua defendan melanggar kewajipan berkanun mereka dengan mengeluarkan kenyataan akhbar itu.

Artikel Berkaitan:

Menurut plaintif, Seksyen 99 (1) akta itu memberikan kuasa eksklusif kepada Lembaga Tatatertib untuk menangani apa-apa perkara berkaitan dengan tingkah laku peguam bela dan peguam cara kerana ia secara nyata memperuntukkan bahawa apa-apa aduan sedemikian haruslah terlebih dahulu dibuat dan dirujuk kepada Lembaga Tatatertib.

Plaintif berkata, sepucuk surat telah dikeluarkan pada 26 Ogos supaya kedua-dua defendan menarik balik penerbitan kenyataan akhbar itu dan membuat permohonan maaf kepada plaintif, namun ditolak oleh defendan menerusi peguam mereka, Tetuan Lee Hishammudin Allen & Gledhill pada 2 September lepas.

Plaintif mendakwa, penerbitkan kenyataan akhbar itu menyebabkan reputasi mereka tercemar selain menegaskan bahawa tindakan defendan melanggar kewajipan berkanun telah memprejudis plaintif.

Oleh itu, kesemua plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, faedah dan kos selain memohon satu injunksi bagi menghalang defendan pertama dan kedua atau ejen mereka daripada menerbitkan perkataan-perkataan serupa yang bersifat fitnah terhadap plaintif-plaintif.

Pada 26 Julai, Najib melantik ZIST untuk mewakilinya dalam rayuan terakhirnya terhadap sabitan dan hukuman di Mahkamah Persekutuan selepas menamatkan perkhidmatan Tetuan Shafee & Co berkuat kuasa serta-merta.

Bagaimanapun, pada 19 Ogos, Najib telah menamatkan perkhidmatan ZIST sebagai peguam caranya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!