Anak terkilan, bapa tak sempat lihat terima ijazah

Muhammad Hafiz (kiri) bersama arwah bapanya, Mokhtar (tengah) ketika tiba di sebuah rumah inap di Ajil, Hulu Terengganu pada hari pertama sampai di Terengganu, Ahad lalu.
Muhammad Hafiz (kiri) bersama arwah bapanya, Mokhtar (tengah) ketika tiba di sebuah rumah inap di Ajil, Hulu Terengganu pada hari pertama sampai di Terengganu, Ahad lalu.
A
A
A

KUALA NERUS - Impian seorang bapa menyaksikan anak ketiganya menerima ijazah tidak kesampaian setelah dia meninggal dunia kira-kira enam jam sebelum berlangsung majlis konvokesyen pada Selasa.

Mokhtar Mat Isa, 65, meninggal dunia kira-kira jam 1 pagi selepas mengalami serangan jantung ketika berada di rumah inap di Kampung Teluk Ketapang, di sini, pada malam Isnin.

Anaknya, Muhammad Hafiz Mokhtar, 27, berkata, bapanya dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu sebelum disahkan meninggal dunia awal pagi Selasa.

"Arwah ayah terjatuh ketika kami sekeluarga berada di rumah inap. Bimbang dengan keadaannya, kami sekeluarga bergegas membawanya ke HSNZ.

"Apabila sampai di hospital, dia disahkan meninggal dunia kira-kira jam 1 pagi,” katanya ketika di temui pemberita pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ke-14 pada Selasa.

Muhammad Hafiz ketika menerima ijazah pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA ke-14 di Kuala Nerus, pada Selasa.
Muhammad Hafiz ketika menerima ijazah pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA ke-14 di Kuala Nerus, pada Selasa.

Muhammad Hafiz memberitahu, dia berasa terkilan kerana tidak sempat berkongsi kegembiraan bersama insan kesayangannya itu.

"Saya agak terkilan kerana ayah paling teruja untuk hadir ke majlis konvokesyen ini, malangnya impiannya untuk lihat saya terima ijazah tidak kesampaian.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum ini ayah ada sakit jantung dan paru-paru cuma tidak begitu serius. Tak sangka dia pergi pada hari konvokesyen saya. Sejujurnya saya sedih, namun pasrah dengan ketentuan Ilahi," kata penerima Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Antropologi dan Dakwah) itu.

Graduan UniSZA itu berkata, bapanya ada menunjukkan perubahan sikap kerana bersungguh-sungguh mahu bertolak dari Selangor ke Terengganu dua hari lebih awal iaitu pada Ahad dengan menaiki kereta bersama ibunya, Salmah Kasa, 64, dan tiga ahli keluarga lain.

"Walaupun majlis konvokesyennya berlangsung hari ini, namun arwah ayah mahu bertolak awal ke sini. Tak sangka dia mahu luangkan masa lebih banyak bersama kami sekeluarga sebelum pergi selama-lamanya.

“Biarpun masih rasa terkilan, saya bersyukur kerana sempat juga meluangkan masa bersama ayah sepanjang di Terengganu dan sempat membawanya melawat beberapa tempat menarik di sekitar Kuala Terengganu,” katanya.

Difahamkan, jenazah Mokhtar dibawa pulang ke kediaman mereka di Kampung Selayang Baru, Selangor kira-kira jam 8 pagi dan dijangka dikebumikan di tanah perkuburan Islam kampung berkenaan pada Selasa.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!