Pemain golf remaja Thailand jaguh nombor satu dunia
BINTANG remaja Thailand, Atthaya Thitikul muncul pemain kedua termuda dalam sejarah menghuni ranking pertama golf wanita dunia selepas mempamerkan aksi hebat dalam penampilan pertamanya di pentas Jelajah PGA.
Atthaya, 19, muncul juara dua kali jelajah elit di Amerika Syarikat pada 2022 iaitu JTBC Classic pada Mac dan Kejohanan Walmart NW Arkansas pada September.
Malah, dia juga berada 12 kali dalam kelompok 10 pemain teratas musim ini sekali gus merampas takhta nombor satu daripada pemain Korea Selatan, Ko Jin-young.
“Ia sangat bermakna buat pasukan, keluarga, penyokong dan diri saya sendiri,” katanya yang kini mengikut jejak langkah pemain New Zealand, Lydia Ko memegang status nombor satu pada usia bawah 20 tahun.
Atthaya mengambil alih ranking teratas daripada Jin-young yang menghuni kedudukan itu sejak Januari lalu tetapi mengalami kecederaan pergelangan tangan dan menarik diri daripada Kejohanan Ladies BMW di Thailand minggu lalu.
“Amat membanggakan dan satu penghormatan melihat nama saya antara nama besar dalam sukan ini. Ia sangat istimewa berada di puncak tetapi pastinya lebih sukar mengekalkannya.
“Masih banyak lagi perlu saya belajar daripada legenda dan pemain sekarang sama ada di dalam mahu pun di luar lapangan. Saya akan terus bekerja keras untuk keluarga, penyokong, pasukan dan negara,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!