JDT alu-alukan kehadiran Borussia Dortmund
KELAB Johor Darul Ta’zim (JDT) mengalu-alukan kunjungan gergasi Bundesliga, Borussia Dortmund (BVB) bagi aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 28 November ini.
Menurut pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, pihaknya berbangga menerima kunjungan kelab berkenaan setelah kali pertama berdepan skuad itu pada 2015.
"Kami berbangga untuk mengalu-alukan kehadiran BVB untuk perlawanan persahabatan kelab antarabangsa bertemu Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim yang ikonik sebagai sebahagian daripada Jelajah Asia BVB 2022.
"JDT dan gergasi Jerman ini sudah mempunyai kerjasama yang baik sejak kolaborasi akademi dan perlawanan persahabatan yang diadakan di Stadium Larkin pada tahun 2015.
“Ianya adalah satu kebanggaan untuk menerima kunjungan pasukan bereputasi seperti BVB sekali lagi dan kali ini di rumah baharu kami," jelasnya menerusi satu kenyataan pada Selasa.
Untuk rekod, pada pertemuan yang berlangsung pada 9 Julai 2015, JDT tewas 1-6 dengan gol tunggal skuad Harimau Selatan dijaringkan oleh Gary Steven Robbat.
Dalam pada itu, Pengarah Perhubungan Antarabangsa dan Komersial BVB, Benedikt Scholz berkata, pihaknya begitu teruja dan gembira dapat kembali beraksi di Johor Bahru.
Malah katanya, pihaknya juga teruja untuk beraksi di Stadium Sultan Ibrahim yang disifatkan sebagai ‘rumah baharu’ skuad Harimau Selatan.
“Pasukan kami tidak sabar untuk bermain di Stadium Sultan Ibrahim yang serba canggih dan bertemu dengan peminat serta penyokong kami di Malaysia sekali lagi.
“Malah, kami juga sangat menghargai jalinan kerjasama dengan JDT dan TMJ. Atas sebab itu kami berbesar hati kerana dapat melangsungkan perlawanan ini sebagai sebahagian daripada Jelajah Asia BVB 2022,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan BVB Asia Pasifik, Dr Suresh Letchmanan berkata, pihaknya teruja dengan aksi persahabatan berkenaan.
“Kami di BVB teruja untuk mengulangi kembali perlawanan yang pernah berlangsung pada 2015 lalu.
“Dalam masa sama, kami juga menjangkakan sebuah pengalaman yang tidak boleh dilupakan." katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!