Imigresen kuat kuasa pemeriksaan pelawat Labuan-Sabah
Jabatan Imigresen Labuan dalam kenyataan kepada Bernama memaklumkan, pada masa ini pemeriksaan yang bertujuan meningkatkan aspek keselamatan dan kawalan sempadan di negeri Sabah itu, hanya dijalankan secara rawak.
"Pemeriksaan keluar dan masuk dari Labuan ke Jeti Jesselton Point dan Jeti Tanjung Pagar, Sabah akan dibuat di Terminal Feri Antarabangsa Labuan manakala pemeriksaan pelawat dari Labuan ke Jeti Menumbok, Sabah pula dijalankan di Jeti RO-RO Labuan dan Terminal Feri Antarabangsa Labuan,” menurut kenyataan itu di sini pada Selasa.
Jabatan itu menjelaskan pemeriksaan pergerakan keluar pelawat dari Jeti Menumbok, Sabah ke Labuan akan dilaksanakan di Jeti Menumbok.
Pada 10 September lepas, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin semasa lawatan rasmi ke pulau bebas cukai ini mengarahkan Jabatan Imigresen untuk melaksanakan penguatkuasaan yang lebih ketat bagi pergerakan pelawat dari Terminal Feri Antarabangsa Labuan dan Terminal Feri RO-RO, Labuan ke tanah besar Sabah.
Arahan yang dikeluarkan itu selaras dengan permintaan Kerajaan Negeri Sabah supaya pemeriksaan imigresen dilaksanakan ke atas pelawat-pelawat yang memasuki Sabah dari Labuan.
"Pelawat yang disekat masuk atau keluar dengan arahan daripada Pihak Berkuasa Negeri Sabah perlu memohon Surat Kemudahan Pelepasan bagi tujuan pergerakan.
"Bagaimanapun beberapa pengecualian akan diberikan khususnya kepada warganegara yang menetap di Labuan dan berulang-alik ke Sabah untuk tujuan bekerja,” menurut kenyataan itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!