Dulu belanja RM150 seminggu, kini boleh cecah RM300
SHAH ALAM - Barangan basah dan keperluan bagi penyediaan makanan harian yang sentiasa menunjukkan trend kenaikan harga menjadi kebimbangan besar buat pengguna yang mahu kerajaan memberi perhatian terhadap isu tersebut.
Barangan tersebut termasuk ayam, ikan, sayur-sayuran, telur dan minyak masak.
Pekerja swasta, Suhaimin Abdul, 46 berkata, dia perlu membelanjakan kos sehingga dua kali ganda bagi keperluan barangan basah disebabkan tekanan kenaikan harga yang begitu ketara.
"Kerajaan kena kawal harga dan mencari mekanisme untuk turunkan harga kerana setahu saya semua barangan keperluan asas naik seperti ikan, sayur-sayuran dan paling ketara telur.
"Cuba bayangkan dulu, RM150 untuk seminggu boleh beli barang basah, sekarang tak lepas, kena ada RM250 atau RM300 baru cukup," katanya kepada Sinar Harian.
Akhbar ini pada Ahad melaporkan hasil kaji selidik yang mendapati isu tersebut antara perkara penting yang perlu diatasi kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Kakitangan kerajaan, Zulkifli Che Yusof, 46, juga senada menyifatkan harga barangan keperluan khususnya bahan mentah untuk dimasak agak mahal.
Justeru katanya, diharapkan kerajaan dapat mengekalkan subsidi bagi barangan keperluan asas supaya harga terkawal.
"Kalau boleh kekalkan harga lama melalui subsidi supaya harga tak melambung naik. Sebab sekarang ini harga barangan asas agak tinggi selain ayam dan telur, ikan serta udang pun.
"Sayur-sayuran tak semua naik, minyak masak pun naik sedikit dan garam, gula serta tepung masih sama,"katanya.
Bagi Polis bantuan, Saufi Ismail, 45, mana-mana kerajaan yang bakal memerintah perlu meneliti semula harga barangan demi kelangsungan hidup rakyat.
"Harga barangan keperluan asas sekarang ini agak tinggi seperti ikan, ayam, telur, minyak masak, sayur-sayuran. Saya minta kerajaan baharu nanti meneliti semula harga barangan ini,"katanya.
Sementara itu, menurut salah seorang peniaga di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan, S Aru, 54, beberapa jenis sayur kini mengalami peningkatan harga disebabkan faktor harga pasaran global.
"Seperti bayam daripada harga RM3.28 naik RM1.50 sekilogram (KG), sawi bunga RM3 naik kepada RM4.50, cili dari RM11 naik RM13, termasuk kangkung dan juga kacang panjang.
"Sekarang ini ekonomi (teruk) dengan mata wang jatuh, barangan keperluan asas import seperti kobis, bawang dari China dan India jadi mahal,"katanya.
Sementara itu, peniaga ikan, Fikri Azhar, 28, juga mengakui harga ikan meningkat ketika ini kerana musim monsun, dan bergantung kepada harga yang diberikan pembekal.
"Selain itu, kekurangan stok ikan, bila pembekal jual harga macam itu, kami terpaksa ambil.
"Buat masa ini, ikan jenahak yang paling naik harga dari (RM22 naik mencecah RM35/1KG) Bawal mas dan pelaling (RM12 hingga RM15/1KG) juga.
"Ikan pelaling sukar nak dapat, dah seminggu masih tak ada. Kalau sampai harga tinggi, kita pun terpaksa jual harga tinggi," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!