KPM tiada kuasa sekat, tarik balik buku bukan terbitan KPM
KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM) tidak mempunyai bidang kuasa untuk menarik balik atau menggantung mana-mana buku atau bahan bacaan yang tidak diterbitkan oleh pihak KPM atau agensi-agensi di bawahnya.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pihak kementerian hanya bertanggungjawab dalam memastikan buku-buku yang keluaran KPM melalui proses yang ditetapkan.
"Pertama sekali ingin saya jelaskan, semakan kami mendapati buku yang dirujuk itu dikeluarkan oleh pihak swasta bukan buku dikeluarkan KPM.
"Kita punya bidang kuasa di KPM adalah (semakan) buku-buku yang dikeluarkan KPM. Itu tumpuan utama KPM untuk mengusahakan yang terbaik supaya buku-buku itu merangkumi data-data dan fakta telah disemak kesahihannya," katanya kepada media selepas melancarkan Kamus Dewan Perdana di sini pada Selasa.
Beliau mengulas mengenai satu hantaran di media sosial baru-baru ini berkenaan tangkap layar dipercayai satu daripada muka surat sebuah buku rujukan mata pelajaran Sejarah Tingkatan 5.
Buku rujukan tersebut yang dipercayai terbitan sebuah syarikat swasta memaparkan kesilapan gambar wajah Tun V.T. Sambanthan pada muka surat itu yang menimbulkan rasa kurang senang dan terkilan kepada anak mendiang, Deva Kunjari Sambanthan.
Mengulas mengenai Kamus Dewan Perdana, Radzi berkata, kamus terbaharu itu mengandungi lebih 120,000 kata akar dan merakam perkembangan kosa kata bahasa Melayu dalam tempoh lebih daripada satu abad.
"Insya-ALLAH kita akan lihat kamus ini akan menjadi panduan utama bagi semua pihak apabila melihat perkataan bahasa Melayu. Terdapat beberapa penambahbaikan dalam kamus ini termasuk juga pengenalan perkataan jawi yang memberikan manfaat besar kepada generasi hari ini dan mendatang,” katanya.
Menurut Radzi, perkembangan bahasa Melayu pada waktu ini, pada era digitalisasi ini berlaku dengan cepat sekali dan pada masa akan datang lebih banyak perkataan baharu yang akan digunakan maka pendekatan baharu boleh diambil kira dalam memastikan perkataan yang ada dalam kamus itu dapat ditambah dan ditambah baik dari semasa ke semasa.
"Seperti yang saya jelaskan tadi, betapa pentingya kamus ini dielektronikkan dan dibenarkan penggunaannya untuk umum supaya membolehkan bahasa ini diperkembangkan dengan lebih baik dan menjadi bahan rujukan yang baik bukan sahaja di Malaysia tapi di seluruh dunia," katanya lagi.
Kamus Dewan Perdana ialah kamus baharu yang diusahakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dan merupakan kamus bahasa Melayu pertama di dunia yang memanfaatkan sumber data daripada pangkalan data korpus yang dibangunkan oleh DBP dan juga data Internet. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!