Putera Harry, Oprah bekerjasama dalam dokumentari
LONDON - BRITAIN. Putera Harry, hari ini mengumumkan beliau bersama selebriti talk show Amerika Syarikat (AS) Oprah Winfrey bakal bekerjasama dalam siri dokumentari tentang kesihatan mental.
Menurut Istana Kensington di Britain dalam satu kenyataan, Duke of Sussex yang bakal bergelar bapa tidak lama lagi akan bersama Winfrey menghasilkan dan mengeksplorasi program bertemakan kesihatan mental itu.
"Saya amat berbangga dapat bekerjasama dengan beliau dalam siri penting ini dan kami telah menghasilkannya secara bersama selama beberapa bulan. Harapan kami adalah siri ini akan memberi kesan positif, memberi pencerahan dan inklusif serta peluang untuk kita memahami diri sendiri dan mereka yang berada di sekeliling," kata Putera Harry.
Kerjasama dengan Winfrey yang mempunyai pengalaman selama beberapa dekad dalam mengacarakan talk show itu akan memberi tumpuan kepada penyakit dan kesihatan mental.
Bagaimanapun, tiada butiran tentang jangka masa untuk siri dokumentari baharu itu.
Sejak beberapa tahun lalu, Harry telah menunjukkan minat dengan isu kesihatan dan kerja kebajikan lain. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!