Lapangan Terbang Lawas ditutup ekoran banjir kilat

Lapangan Terbang Lawas ditutup ekoran banjir kilat. - Foto Bernama
Lapangan Terbang Lawas ditutup ekoran banjir kilat. - Foto Bernama
A
A
A
KUCHING - Lapangan Terbang Lawas yang terletak kira-kira 1,042 kilometer (km) ke utara dari sini, ditutup sementara bermula Selasa susulan banjir kilat pada Isnin.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Datuk Khirudin Drahman berkata, penutupan itu dijangka selama tiga hari bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan landasan yang berlumpur akibat banjir berkenaan.

Sementara itu, mangsa banjir di Bintulu yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Suarah Bintulu telah dipindahkan ke PPS Stadium Muhibbah petang ini (Selasa).

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan, kesemua 50 mangsa daripada 15 keluarga itu terpaksa dipindahkan ke lokasi tersebut memandangkan Dewan Suarah Bintulu akan digunakan untuk persiapan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Mereka yang terjejas itu adalah dari Kampung Kemunting, Kampung Assyakirin, Desa Damai, Kampung Baru dan Bukit Orang,” menurut kenyataan itu.
Artikel Berkaitan:


Menurut JPBN sehingga 3 petang Selasa seramai 22 penduduk daripada 10 keluarga telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

"JPBN Sarawak akan terus memantau situasi semasa terutamanya di kawasan berisiko banjir bagi memastikan keselamatan penduduk,” menurut kenyataan itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!