PRU15: Ezam umum sertai PRM, tidak bertanding di Langkawi

Tangkap layar laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Tangkap layar laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

KLANG - Pengerusi Pertubuhan Perubahan Rakyat Malaysia (Gerak), Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor mengumumkan untuk menyertai Parti Rakyat Malaysia (PRM) berkuat kuasa serta-merta pada Selasa.

Beliau yang juga bekas Setiausaha Politik Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertanding bagi merebut kerusi Parlimen di Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengumuman tersebut turut menjawab persoalan tentang beliau yang didakwa akan bertanding bagi merampas kerusi Parlimen Langkawi daripada bekas penyandangnya, Tun Dr Mahathir Mohamad seperti dilaporkan Sinar Harian baru-baru ini.

Beliau berkata, keputusannya untuk tidak bertanding di kerusi pulau legenda itu adalah disebabkan Pakatan Harapan (PH) tidak bersungguh-sungguh untuk menegakkan perjuangan reformasi.

"Keputusan Gerak untuk hantar saya bertanding di Langkawi kerana Mahathir musuh reformasi nombor satu. Jadi perlu ada tentangan serius dan kuat, bukan calon biasa-biasa.

"Saya juga telah nyatakan hasrat secara terbuka kepada PH dan akhirnya mereka meletakkan calon PH dari Parti Amanah Negara (Amanah).

"Atas keputusan itu, kita tarik diri supaya tidak bertembung (dengan calon PH) dan menguntungkan Mahathir," katanya semasa sidang akhbar khas Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Pelancaran Gerak Rakyat, di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Mohamad Ezam berkata, perpecahan undi akan berlaku jika beliau bertanding di Langkawi, sekali gus tiada tentangan maksimum terhadap Mahathir.

Artikel Berkaitan:

Oleh itu, beliau membuat keputusan untuk menyertai PRM dan bertanding di Selangor pada PRU kali ini.

"Kita (Gerak) menyatakan rasa kesal kerana sepatutnya PH letak calon utama melawan Mahathir. Ini disebabkan selama dua tahun beliau menyerang PH dan runtuhkan kerajaan reformasi.

"Mereka kata reformasi tetapi tiada kesungguhan dan episod di Langkawi membuktikan tiada kesungguhan PH benar-benar tegakkan reformasi," katanya.

Dalam perkembangan lain, PRM akan mempertaruhkan enam kerusi Parlimen di Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini.

Naib Presidennya, Ahmad Jufliz Faiza berkata, kawasan tersebut meliputi Parlimen Kota Raja, Kapar, Shah Alam, Petaling Jaya, Bangi dan Sungai Buloh.

"Kita akan umumkan nama-nama calon dan mana-mana pertambahan kerusi (pada Khamis) yang mana kita sedang dalam proses untuk menyelesaikan surat-surat lantikan watikah," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!