Calon bebas dijangka cuba nasib walaupun sukar menang
SHAH ALAM - Penganalisis politik berpendapat bahawa calon bebas akan mencuba nasib meskipun mengetahui sukar memenangi kerusi di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Penganalisis politik Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, ini kerana terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi kemenangan terutama kredibiliti calon itu sendiri.
“Boleh bertanding tapi adakah dia menang itu (bermakna) dua perkara kerana mengikut sistem demokrasi, kita bebas...sekiranya dia memenuhi syarat untuk menjadi seorang calon dalam pilihan raya, maka itu hak masing-masing.
“Jadi adakah calon bebas ini mempunyai keupayaan dari segi mendapat sokongan daripada pengundi, ini perkara yang kedua.
"Jadi, jika kita lihat trend perkembangan pilihan raya yang lalu sehingga hari ini, calon bebas yang boleh menang pilihan raya, contohnya seperti Tan Sri Shahrir Samad bertanding di Johor selepas dia keluar UMNO sebagai calon bebas dan menang (Parlimen Johor Bahru).
"Ini kerana selain kredibiliti, beliau dah lama (menjadi wakil rakyat) di situ, masyarakat khususnya pengundi dah kenal," katanya kepada Sinar Harian.
Tambah Ahmad Martadha, calon-calon bebas ini dilihat hanya memeriahkan proses pilihan raya.
Sementara itu, Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Datuk Dr Jeniri Amir juga menjangkakan calon bebas akan mencuba nasib meskipun harapan untuk menang tipis.
“Lazimnya dalam setiap pilihan raya khususnya PRU dan Pilihan Raya Negeri (PRN) pasti ada calon yang mencuba nasib, kali ini saya jangka bahawa pasti akan ada calon bebas kerana mereka ini nak mencuba nasib sama ada menang ataupun tidak.
“Berdasarkan sejarah PRU yang lalu, tidak ramai yang bernasib baik. Hanya kawasan tertentu sahaja yang dapat dimenangi misalnya di Sarawak, dua calon bebas bertanding dan memenanginya.
“Bagaimanapun secara amnya, harapan untuk calon bebas ini menang adalah amat tipis lebih lagi hadirnya parti atau calon yang kuat," ujar beliau.
Jelas Jeniri lagi, sekiranya terdapat calon bebas yang memenangi PRU kali ini, ia bermakna sikap dan kedudukan mereka betul-betul berwibawa, berpengaruh dan dikenali di suatu kawasan serta diterima dengan baik oleh pengundi.
"Jadi untuk PRU kali ini, tidak akan berlaku satu anjakan dan lompatan besar dari segi angka calon bebas," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!