Hari penamaan calon: Jalan Kota ditutup kelancaran trafik
KLANG - Jalan Kota di kawasan Klang Utara akan ditutup serta dilencongkan bagi kelancaran trafik ketika urusan penamaan calon bermula pada 4 November ini.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, penamaan calon bagi Parlimen P.109 Kapar akan diadakan di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah dan Tanah Klang.
"Lokasi penutupan jalan melibatkan Jalan Kota dan laluan alternatif yang disediakan adalah melibatkan Jalan Bukit Jawa (belakang IPD Klang Selatan-Jalan Raya Barat).
"Pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan laluan alternatif bagi memastikan aliran trafik berjalan lancar ketika hari penamaan calon dijalankan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, pihaknya mengambil langkah proaktif dengan menjalankan penutupan jalan sempena penamaan calon itu bermula pada 4 November ini.
"Penutupan bermula jam 5 petang sehingga selesai proses penamaan calon pada 5 November," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!