Wujudkan tapak perniagaan di Iskandar Puteri

Peniaga mengharapkan agar kerajaan yang dipilih pada PRU15 kelak dapat menyediakan tapak perniagaan bagi memudahkan golongan peniaga kecil menjalankan perniagaan masing-masing.
Peniaga mengharapkan agar kerajaan yang dipilih pada PRU15 kelak dapat menyediakan tapak perniagaan bagi memudahkan golongan peniaga kecil menjalankan perniagaan masing-masing.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Orang ramai di sekitar kawasan Parlimen Iskandar Puteri, khususnya golongan peniaga, mengharapkan agar kerajaan yang dipilih pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak dapat menyediakan tapak perniagaan bagi memudahkan golongan peniaga kecil menjalankan perniagaan masing-masing.

Bagi peniaga Mohd Hishaumddin Rasid, 29, kewujudan tapak perniagaan berkenaan bakal membantu golongan peniaga kecil sepertinya kembali menjalankan perniagaan setelah pandemik Covid-19 melanda negara, dua tahun lalu.

Malah katanya, tapak perniagaan berkenaan juga diyakini dapat membuka peluang-peluang pekerjaan kepada mereka yang terjejas dan kehilangan pekerjaan ketika negara dilanda wabak Covid-19 lalu.

“Kalau tanya saya, sememangnya kami peniaga-peniaga kecil ini mahukan sebuah tapak perniagaan khas untuk kami (kembali) berniaga.

“Kami kini berniaga di lot-lot parkir sahaja dan diharapkan selepas ini kami dapat bukan di lot-lot parkir seperti sekarang.

“Selain tapak perniagaan itu, diharapkan juga agar disediakan kawasan lot parkir yang akan memudahkan orang ramai untuk ke gerai-gerai kami kelak,” katanya.

Untuk rekod, Parlimen Iskandar Puteri merekodkan jumlah pengundi kedua tertinggi di Johor dengan 222,437 pengundi selepas Parlimen Tebrau.

Pendapat itu dipersetujui oleh seorang penjawat awam, Mohd Farhan Kasmuni, 37 yang menyifatkan kewujudan tapak perniagaan itu sebagai antara pembaharuan yang boleh dilaksanakan kelak oleh kerajaan selepas PRU15.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kewujudan tapak perniagaan berkenaan juga bakal membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan belia di sekitar Iskandar Puteri

“Kalau diikutkan dari segi kestabilan, negeri Johor ni dah pun stabil..tetapi macam yang kita tahu, semasa negara dalam pandemik Covid-19, ramai yang hilang pekerjaan..oleh itu tapak perniagaan ini merupakan salah satu inisiatif yang baik untuk dilaksanakan.

“Selain mewujudkan peluang perniagaan (pekerjaan), ia juga dapat membantu orang ramai menjana semula pendapatan masing-masing yang terjejas,” katanya.

Sementara itu, bagi Mohd Faidzullah Ibrahim, 36, pihaknya mengharapkan agar selepas PRU15 nanti, wakil rakyat yang dipilih kelak perlu lebih peka dan prihatin dengan keadaan semasa terutamanya yang melibatkan masalah yang dihadapi rakyat.

Mohd Faidzullah yang bekerja sendiri turut menegaskan, antara masalah yang dihadapi rakyat ketika ini adalah dengan isu kenaikan harga barang yang di pasaran ketika ini.

“Siapa juga yang akan dipilih nanti di sini (Iskandar Puteri) perlu peka dengan masalah rakyat...sentiasa ambil tahu apa yang diperlukan.

“Selain itu, diharapkan gejala rasuah tidak lagi berleluasa kerana angkara rasuahlah antara penyebab kenaikan harga barang ketika ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!