Ustaz Kazim disebut calon BN di Larut

Mohd Kazim
Mohd Kazim
A
A
A

IPOH - Pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias disebut sebagai calon BN bagi mengisi kerusi Parlimen Larut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mohd Kazim atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim menjadi pertaruhan untuk BN merebut kembali kerusi berkenaan yang kini disandang Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Pemilihan Ustaz Kazim, 50, itu dikatakan dibuat bukan sahaja atas popularitinya sebagai tokoh agama dan pelakon tetapi pengaruh besar dibawa kepada negeri Perak.

Di media sosial, tular sekeping gambar Ustaz Kazim sedang merakam foto sambil memegang plakad tertulis P056 kerusi Parlimen Larut.

Menerusi gambar tular itu, beliau memakai pakaian kemeja biru yang tertera lambang dacing iaitu pakaian rasmi bagi BN.

Gambar tular Ustaz Kazim yang disebut sebagai calon BN di kerusi Parlimen Larut.
Gambar tular Ustaz Kazim yang disebut sebagai calon BN di kerusi Parlimen Larut.

Sementara itu, abang Ustaz Kazim, Ahmad Hasbullah Elias ketika dihubungi mengesahkan, adiknya sebagai calon BN di Larut.

Katanya, ketika ini beliau bersama Ustaz Kazim berada di Kuala Lumpur untuk mengikuti pengumuman calon BN.

Artikel Berkaitan:

"Ya (Mohd Kazim jadi calon), saya berada di Kuala Lumpur untuk pengumuman calon BN malam ini.

"Saya akan bantu dia dan beri panduan berdasarkan pengalaman sebelum ini,"ujarnya.

BN dijadualkan mengumumkan calon-calon parti yang akan bertanding pada PRU15 dalam satu majlis di Dewan Tun Husein Onn pada jam 8.30 malam ini.

Ahmad Hasbullah pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubu Gajah bersama seorang lagi abangnya, Datuk Mohd Najmudin Elias di DUN Batu Kurau, kedua-duanya merupakan kerusi DUN di bawah Parlimen Larut.

Pada PRU14 lalu, Hamzah menang kerusi Parlimen Larut atas tiket BN selepas mengalahkan calon Pas, Abu Husin Mohamad dengan majoriti 4,486 undi.

Selepas itu, beliau keluar dari UMNO dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 2019.