BN Padang Besar mahu Zahidi kekal

Hazmi Sulaiman (tengah) pada sidang akhbar menyokong penyandang Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin pada Selasa.
Hazmi Sulaiman (tengah) pada sidang akhbar menyokong penyandang Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin pada Selasa.
A
A
A
KANGAR – Prestasi cemerlang Datuk Zahidi Zainul Abidin pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menjadi sandaran kepada UMNO Bahagian Padang Besar yang mahu penyandang kerusi Padang Besar itu dikekalkan menjadi calon BN.

Ahli Jawatankuasanya, Hazmi Sulaiman berkata, sebanyak 134 cawangan UMNO di Padang Besar menyokong Zahidi kekal bertanding di kerusi Parlimen berkenaan pada PRU15.

“Kalau kita perhatikan, rekod sewaktu PRU14 di Padang Besar menyaksikan kita mencapai kemenangan 6-0 iaitu di kawasan Parlimen dan lima Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Jadi sewajarnya kejayaan kami pada pilihan raya lepas tidak diganggu oleh pihak lain dalam menentukan calon pada PRU15,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan BN Parlimen Padang Besar pada Selasa.

Nama Zahidi yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Besar dikatakan digugurkan sebagai calon bagi Parlimen berkenaan.
Artikel Berkaitan:


Dalam pada itu, Hazmi berkata, satu mesyuarat jawatankuasa khas juga akan dilaksanakan sekiranya nama Zahidi tidak diumumkan sebagai calon parti itu pada malam ini.

“Setakat ini, Ahli Jawatankuasa Bahagian masih belum memutuskan tindakan selanjutnya jika Zahidi tidak tercalon,” ujarnya.



Pada PRU14, Zahidi memenangi kerusi Parlimen Padang Besar dengan majoriti 1,438 menerusi pertembungan tiga penjuru melawan calon PKR, Izizam Ibrahim dan Pas, Mokhtar Senik. Zahidi mendapat 15,032 undi manakala Izizam 13,594 dan Mokhtar 7,874 undi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!