PRU15: Jangan khianat jika tak tercalon

 Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memberi amaran kepada yang tidak tercalon dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) supaya tidak berbuat khianat kepada parti.

Beliau berkata, Perikatan Nasional (PN) akan 'menyerang' habis-habisan jika ada yang berbuat demikian.

Ujarnya, jika dalam Pas, setiap pemimpin yang menjadi calon perlu melalui proses semakan dan penelitian dalam majlis syura.

“Setiap pemimpin yang diisytiharkan (menjadi calon) perlu melalui proses kalau dalam Pas disemak dan diteliti dalam majlis syura, bukan cuma pastikan mereka tidak pernah melakukan dosa besar malah (untuk pastikan) adakah mereka mampu menggalas amanah tersebut.

“Semua calon juga bersumpah dengan nama ALLAH untuk melaksanakan tanggungjawab dan tidak khianat kepada rakyat yang dipilihnya.

“Kita juga beri amaran kalau mereka khianat, kita akan hentam dan serang habis-habisan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar khas ketika pengumuman calon parti Perikatan Nasional (PN) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) di sini pada Selasa.

Turut hadir Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai; Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Dominic berkata, calon PN yang dipilih harus bersih daripada rasuah.

Jelasnya, ini bagi mengukuhkan imej PN sebagai parti yang tidak terpalit dalam isu terbabit.

“Kita nak beritahu bahawa PN akan menjadi kerajaan yang bersih. Oleh itu, kita tidak akan letak calon kurang bersih atau yang tidak bebas dari rasuah.

Tambahnya, PN juga mengambil kira anak muda sebagai calon meskipun mengakui terdapat kelemahan dalam kalangan calon belia.

“Jika anda senang dengan remaja maksudnya kita utamakan belia dan calon kita pun ada dalam kalangan belia atau anak muda.

“Orang muda kekuatannya sentiasa bersedia tapi kelemahannya kurang pengalaman oleh itu kita letakkan seorang sahaja dalam calon PN," katanya.

Jelasnya lagi, pemimpin yang tidak terpilih bukan tidak layak namun kurang sesuai untuk strategi PN.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!