TFC benam Sri Pahang, mara ke suku akhir Piala Malaysia
TERENGGANU FC (TFC) melakar kemenangan sekali gus mara ke suku akhir Piala Malaysia 2022 setelah membenamkan Sri Pahang FC 4-2 dalam aksi timbal balik pusingan 16 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di Kuala Nerus, pada malam Selasa.
Kemenangan bergaya secara agregat 9-3 itu membolehkan TFC yang juga naib juara Piala FA dan Liga Super membuat perhitungan dengan KL City FC di peringkat suku akhir.
Babak pertama perlawanan menyaksikan pasukan tuan rumah menjaringkan gol seawal minit kedua menerusi hantaran Mohd Faiz Nasir sebelum Kpah Sherman dengan mudah menanduk masuk bola menembusi pertahanan pihak lawan.
Pasukan pelawat menerusi Steven Rodriguez memiliki peluang terbaik dengan berjaya menggelecek penjaga gol TFC namun tolakan lemah ketika jaringan pada minit ke-22 sempat dihalang Shahrul Nizam Roshasni.
TFC memanfaatkan kesempatan itu bagi menjadikan kedudukan 2-0 apabila Faisal Abdul Halim menyudahkan lorongan Sherman di dalam kotak penalti pada minit ke-29.
Rembatan padu Azam Azmi Murad enam minit kemudian meletakkan TFC pada kedudukan selesa menewaskan Mamadou Samassa buat kali ketiga.
Kekasaran Shahrul Nizam ke atas Rodriguez ketika situasi menjaringkan gol menyebabkan pemain tersebut dilayangkan kad merah dan Sang Penyu terpaksa akur beraksi dengan 10 pemain.
Kelebihan tersebut sebaliknya gagal dimanfaatkan Sri Pahang berikutan TFC dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan Sherman setelah Faisal dijatuhkan Baqiuddin Shamsudin pada minit ke-45.
Beraksi pada babak kedua, skuad Tok Gajah dilihat cuba bangkit melalui jaringan gol daripada Lee Tuck pada minit ke-71.
Rodriguez berjaya mengurangkan defisit 2-4 hasil sepakan kencang dari dalam kotak penalti enam minit sebelum tamat masa perlawanan.
Bagaimanapun, kemaraan skuad Tok Gajah itu sudah terlewat dan terpaksa akur dengan keputusan agregat yang berpihak kepada skuad kendalian Nafuzi Zain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!