KL City, TFC buat perhitungan di suku akhir
PENYANDANG juara, Kuala Lumpur (KL) City berada di landasan terbaik untuk mempertahankan Piala Malaysia setelah menempah slot suku akhir sebentar tadi.
Skuad bimbingan Bojan Hodak mara ke kelompok lapan pasukan terbaik setelah menewaskan PDRM FC dengan dengan agregat 4-0.
Beraksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras dalam aksi kedua pusingan awal, KL City menang tipis 1-0 menerusi jaringan lewat permainan oleh pemain gantian, Zhafri Yahya.
Bagaimanapun skuad warga kota bakal berdepan cabaran besar apabila menanti mereka di suku akhir ialah naib juara Liga Super, Terengganu FC (TFC).
Skuad kendalian Nafuzi Zain itu mara ke suku akhir setelah membelasah Sri Pahang dengan agregat 9-3.
Pada aksi sebentar tadi, KL City turun tanpa pemain utama, Romel Morales dan Zhafri yang menyaksikan mereka buntu merobek gawang lawan pada babak pertama.
PDRM ampuh bertahan, selain turut mengatur gerak, namun nasib tidak menyebelahi mereka.
Rentak permainan KL City berubah apabila Morales dan Zhafri dibawa masuk pada separuh masa kedua.
Kemasukan Zhafri ternyata membuahkan hasil apabila meledak jaringan tunggal pada penghujung babak kedua.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!