Azmin yakin menang di Gombak
KUALA LUMPUR - Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yakin akan menang di Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Jelasnya, keyakinan itu disebabkan beliau merupakan anak jati Gombak.
"Ini satu proses demokrasi yang matang dan saya menyambut baik mana-mana calon daripada pelbagai parti untuk menawarkan berkhidmat.
"Namun saya yakin insya-ALLAH berdasarkan rekod dan perkhidmatan saya selama tiga penggal di Gombak.
"Saya anak jati Gombak dan saya mengenali kesemua penduduk di Gombak atas semangat persaudaraan yang wujud sekian lama. Insya-ALLAH Gombak akan kekal ke tangan PN," katanya menerusi satu sidang akhbar khas selepas pengumuman calon parti PN di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) di sini pada Selasa.
Turut hadir Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Azmin berkata, mengenai pemilihan calon, PN lebih menitikberatkan individu yang mempunyai integriti dan keupayaan berkhidmat kepada rakyat.
"Negeri dan peringkat pusat, kita mengambil kira semua faktor dan yang penting kita mahu calon-calon ini mempunyai integriti serta keupayaan untuk memberikan khidmat dan bakti kepada pengundi di kawasan masing-masing," ujarnya.
Tambahnya, bagi manifesto pula, pihaknya telah meneliti dan akan dibentang pada awal November ini.
"Hari ini kita ada majlis Perikatan Nasional yang telah meneliti dan memperhalusi graf terakhir manifesto insya-ALLAH kita akan lancarkan satu atau dua hari sebelum hari penamaan calon," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!