Sambutan hangat Karnival Institusi Pendidikan Mara
KUALA TERENGGANU - Karnival Institusi Pendidikan Mara 2019 yang diadakan di Stadium Negeri Terengganu bermula hari ini menjadi pilihan kepada para pelajar untuk mendapatkan maklumat mengenai pendidikan tinggi seterusnya merancang kerjaya mereka pada masa depan.
Penyelaras Karnival, Roslina Azarai berkata, karnival yang berlangsung bermula jam 10 pagi hingga 6 petang itu menyaksikan sambutan hebat dengan kehadiran kira-kira 10,000 hingga 15,000 pengunjung pada hari pertama ia diadakan.
“Hari ini kita sasarkan dalam 15,000 pengunjung terdiri daripada para pelajar. Sepanjang karnival ini berlangsung sebelum ini kita ada hampir 180,000 pengunjung di lapan buah lokasi ia diadakan.
“Kita harap kehadiran pengunjung lebih memberangsangkan lagi pada hari kedua karnival ini esok dan berharap pelajar yang hadir dapat membawa pulang bersama surat tawaran yang disediakan di setiap gerai institusi pendidikan Mara (IPMA),” katanya.
Roslina berkata, karnival pendidikan itu adalah sebahagian daripada acara tahunan MARA bagi mempromosikan program-program pendidikan yang ditawarkan.
“Tahun ini karnival ini diadakan dengan konsep 4P iaitu penerangan, permohonan, penawaran dan pembiayaan diberikan kepada mereka yang layak oleh Bahagian Penganjuran Pendidikan (BPP),” katanya.
Beliau berkata, karnival kali ini berbeza kerana melibatkan 11 institusi pendidikan di bawah Mara iaitu Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Kolej Universiti Polytech Mara (KUPTM), Kolej Polytech MARA (KPTM), German Malaysian Institute (GMI), Kolej MARA (KM), Kolej Profesional MARA (KPM), MARA Japan Industrial Institute (MJII), KolejKemahiranTinggi MARA (KKTM), Institut Kemahiran MARA (IKM), GIATMARA dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
“Karnival ini boleh digelar sebagai pusat sehenti bagi pengunjung untuk memilih kursus yang bersesuaian dengan kelulusan mereka dan pada masa itu juga akan terus mendapat surat tawaran dari IPMA yang dipilih.
“Melalui karnival ini juga, mereka berpeluang mendapat penjelasan mengenai peluang penajaan dan pembiayaan pengajian selain kaunseling pendidikan,” katanya.
Sementara itu, kebanyakan pelajar yang ditemui berpuas hati dengan penganjuran karnival yang bermanfaat dengan penjelasan secara bersemuka mengenai pelbagai kursus pengajian dan kemudahan yang ditawarkan.
Bekas pelajar SMK Balai Besar, Dungun, Muhammad Zulhilmi Jusoh, 20, dari Kampung (Kg) Alur Tempoyak yang hadir bersama bapanya yang merupakan pesara perubatan, Jusoh Hassan, 66, mengakui karnival itu banyak memberikan kemudahan kepadanya untuk memilih tempat bagi melanjutkan pengajian.
“Saya dapat tahu mengenai karnival ini daripada hebahan media. Jadi, saya terus ke sini untuk mencari jurusan yang saya minat iaitu jurusan elektrik. Kalau ada peluang, mungkin saya nak sambung ke Kolej Komuniti Tinggi Mara,” katanya.
Sementara itu, bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Putera, Akmal Dini Abu Bakar, 18, yang berasal dari Chendering, berkata, dia mendapat maklumat mengenai karnival itu menerusi grup aplikasi media sosial, WhatsApp.
“Mujur dapat maklumat mengenai karnival ini kerana ia banyak membantu saya untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Saya datang ke sini bersama keluarga dan ditemani tujuh lagi rakan. Masing-masing nak tahu lebih lanjut mengenai apa yang ditawarkan untuk menyambung pengajian dan apa jurusan yang sesuai,” katanya.
Senada dengan Akmal Dini, bekas pelajar MRSM Kota Putera, Iman Maisarah Suhaimi, 18, dari Kampung Pulau Rusa, di sini, berkata, dia mendapat jawapan terhadap persoalan mengenai kemasukan ke universiti dan pusat pengajian tinggi yang membelenggunya selama ini.
“Banyak yang saya tak tahu mengenai kos yang ditawarkan dan apa yang sesuai dengan saya, karnival ini banyak membantu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!