Selesaikan masalah dalaman parti sebelum kempen
SHAH ALAM - Masalah dalaman parti berkaitan pemilihan calon bertanding adalah perkara biasa yang berlaku ketika pilihan raya umum (PRU).
Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Dr Kelvin Yii Lee Wuen berkata, ia disebabkan beberapa faktor kerana melibatkan perbezaan fikiran dan pandangan.
Jelasnya, sebarang permasalahan akan segera diselesaikan dengan mencari titik persamaan bagi memastikan gerak kerja berkempen berjalan lancar.
“Perbezaan sememangnya ada dan sudah menjadi adat dalam ruang demokrasi untuk sesuatu perkara itu mempunyai perspektif berbeza daripada kaca matanya.
“Dalam pemilihan calon menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), ia perlulah diselesaikan sebaik mungkin menerusi perbincangan dengan akar umbi.
“Kita maklum akan perbezaan itu tetapi kita harus tahu perjuangan ini masih panjang, jadi kebiasaannya kita sentiasa bincang,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya berkata, sebarang permasalahan dalaman parti termasuk isu pemilihan calon bertanding akan ditangani pemimpin utama.
“Dalam perkara ini, kita serahkan kebijaksanaan mereka menyelesaikannya. Tentang pemilihan calon, kita teliti sebaik mungkin,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!