PKR ambil langkah awal
SHAH ALAM - Majoriti pimpinan utama PKR yang kini dikuasai golongan muda dan muka baharu membuktikan kesediaan mereka untuk melaksanakan transformasi serta ‘meremajakan’ parti.
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, transformasi tersebut turut dibuktikan apabila ramai muka baharu dicalonkan bagi mewakili parti tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.
Jelasnya, tindakan meremajakan parti itu juga seiring dengan perkembangan jumlah pengundi muda yang kini mewakili lebih separuh daripada jumlah keseluruhan rakyat Malaysia yang layak untuk mengundi.
“Bagi PKR contohnya, kami telah melalui proses meremajakan parti atau ‘penjanaan’ semula semangat dengan pemilihan kepimpinan baharu.
“Kalau dapat dilihat, selain Datuk Seri Anwar Ibrahim (Presiden) dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Setiausaha Agung), tujuh atau lapan pimpinan tertinggi dalam PKR berikutnya adalah rata-rata berumur 42 atau 43 tahun.
“Ia membuktikan bahawa PKR bukan sekadar menampilkan calon pilihan raya yang baharu tetapi kepimpinan parti itu sendiri telah diremajakan bagi memastikan generasi berikutnya menjadi kepimpinan utama parti.
“Situasi ini jauh berbeza daripada parti-parti lain seperti Pas, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang rata-ratanya masih sukar untuk golongan muda menjadi sebahagian pimpinan tertinggi parti,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kesediaan PKR untuk melaksanakan transformasi terutama dengan meremajakan parti.
Tambahnya, setiap parti yang ingin kekal relevan dan mahu menarik sokongan pengundi perlulah menyantuni serta memahami isi hati terutamanya golongan muda.
“Perlu juga difahami bahawa cita-cita setiap pengundi sekarang ini adalah ingin melihat calon yang lebih dekat dengar mereka terutama dari segi umur, latar belakang dan sebagainya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!