[VIDEO] Ustaz Kazim tarik diri, BN umum calon baharu di Larut

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias yang dikenali Ustaz Kazim telah menarik diri sebagai calon BN di kerusi Parlimen Larut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Susulan itu BN telah menamakan calon baharu iaitu Ketua Penerangan Pemuda UMNO Larut, Mohd Shafiq Fhadly Mahmud untuk bertanding di kerusi berkenaan.

Pengerusi BN negeri, Datuk Saarani Mohamad berkata, pertukaran calon itu terpaksa dilakukan sebagai menghormati pendirian Ustaz Kazim yang membuat keputusan pada saat akhir.

Menurutnya, penarikan diri itu dimaklumkan sendiri Ustaz Kazim kepada UMNO Perak sekitar jam 1 pagi pada Rabu, tanpa memberitahu alasan sebenar.

"Saya ada di Pejabat UMNO semalam dan sekitar jam 1 pagi, saya dapat maklumat bahawa beliau menarik diri.

"Itulah sahaja saya tahu, alasan (menarik diri) kena tanya kepada beliau sendiri," katanya ketika sidang akhbar selepas Pengumuman Calon PRU15 BN Perak di sini pada Rabu.

Saarani berkata, berdasarkan pengumuman asal, Ustaz Kazim telahpun bersetuju sebagai calon BN di kerusi tersebut, malah watikah pelantikan juga telah disediakan.

"Beliau telahpun bersetuju pada sebelah petang, namanya diumumkan oleh Datuk Seri Zahid (Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan watikah juga telah disediakan.

Artikel Berkaitan:

"Jadi saya tidak ada jawapan bagi alasan mengapa bertukar kerana asalnya beliau telah bersetuju," katanya.

Pencalonan Ustaz Kazim diumumkan sendiri Ahmad Zahid pada Majlis Pengumuman Bakal Calon Parlimen BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Selasa.

Pemilihan Ustaz Kazim, 50, itu dibuat bukan sahaja atas popularitinya sebagai tokoh agama, tetapi pengaruh besar dibawa kepada negeri Perak.

Mengulas calon baharu Parlimen Larut, Saarani berkata, BN mengambil pendekatan mengetengahkan calon muda anak tempatan di situ.

Mohd Shafiq Fhadly diumum sebagai calon baharu BN di Larut.
Mohd Shafiq Fhadly diumum sebagai calon baharu BN di Larut.

"Mohd Shafiq Fhadly seorang calon muda yang boleh diketengahkan, seorang jurutera petroleum yang boleh kita pertimbangkan sebagai calon 'giant'.

"Saya yakin sebab kita dapat maklum balas dari tiga bilik gerakan DUN di situ bahawa mereka akan 'all out' memenangkan ketiga-tiga calon kita," katanya.

Parlimen Larut kini disandang Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Pada PRU14 lalu, Hamzah menang kerusi Parlimen Larut atas tiket BN selepas mengalahkan calon Pas, Abu Husin Mohamad dengan majoriti undi sebanyak 4,486.

Selepas itu, beliau keluar dari UMNO dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 2019.