Kertas siasatan kes pijak kolam Deepavali sudah lengkap

Kertas siasatan berkaitan kes lelaki pijak kolam Deepavali telah lengkap.
Kertas siasatan berkaitan kes lelaki pijak kolam Deepavali telah lengkap.
A
A
A

KLANG - [DIKEMAS KINI] Kertas siasatan berkaitan kes video tular individu tular memijak hiasan kolam Deepavali di sebuah hospital swasta di sini, telah lengkap.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, kertas siasatan itu telah dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor untuk dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

"Arahan kepada pegawai penyiasat untuk mendapatkan dahulu laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan syarikat telekomunikasi untuk tindakan selanjutnya.

"Kedua-dua suspek yang ditahan reman pada Isnin lalu telah diberi jamin sehingga mendapat keputusan kes," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan, kedua-dua suspek berusia lingkungan 20-an dan 30-an itu hadir dan ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara sekitar jam 11 malam.

Kedua-dua individu terbabit merupakan kakitangan sebuah hospital swasta.

Sebelum ini, media melaporkan Ketua Balai Polis Bandar Baru Klang dilaporkan membuat satu laporan terhadap individu terbabit selepas mengesan video berdurasi 37 saat memaparkan tindakan suspek berkenaan tular di TikTok.

Sementara itu, Hospital Pakar KPJ Klang dalam satu kenyataan pada Ahad menegaskan, mereka tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan jelik dan tidak profesional daripada mana-mana kakitangan mereka dan akan menjalankan siasatan dalaman.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!