'Umum segera calon BN Kuala Nerus'
KUALA NERUS - UMNO Bahagian Kuala Nerus mengharapkan pucuk pimpinan parti itu mengumumkan segera nama calon yang akan bertanding bagi kerusi Parlimen Kuala Nerus sebelum penamaan calon, Sabtu ini.
Ketua Pemudanya, Muhammad Hanafi Hassan berkata, pengumuman awal dapat memberi kelegaan kepada rakyat yang tidak senang duduk bermain teka-teki berhubung calon bakal bertanding di kerusi panas tersebut.
"Secara dasarnya, Pemuda UMNO Bahagian Kuala Nerus memang terlibat dalam beberapa proses pemilihan calon untuk memastikan kemenangan parti di kerusi ini. Tetapi di peringkat akhir ia akan dimuktamadkan pucuk pimpinan setelah mengambil kira pelbagai faktor semasa.
“Pemuda akan menerima sesiapa sahaja yang diputuskan pucuk pimpinan dan akan bekerja habis-habisan memastikan kemenangan calon tersebut," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Pada Selasa, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak mengumumkan nama calon BN untuk kerusi Parlimen Kuala Nerus menyebabkan ramai pihak berteka-teki berhubung perkara itu.
Dalam pada itu, Hanafi berkata pihaknya akur dan faham Kuala Nerus adalah kawasan kritikal dan pucuk pimpinan pasti mempunyai perkiraan sewajarnya sebelum memutuskan calon yang akan bertanding.
"UMNO mempunyai peluang besar untuk menang di sini (Parlimen Kuala Nerus). Sudah tentu perkiraan politik antara kepimpinan parti penting bagi menjamin kemenangan partu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!