PRU15: Polis Kelantan kenal pasti sembilan lokasi 'panas'
KOTA BHARU - Polis Kelantan mengenal pasti sembilan kawasan Parlimen di negeri ini yang dikategorikan sebagai lokasi 'panas' pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kesemua kawasan disenaraikan itu berpandukan kepada situasi pada PRU14 yang lalu.
"Bagaimanapun kita akan melihat semula perkara itu selepas selesainya sesi penamaan calon pada Sabtu.
"Selain itu kita juga akan mengambil kira maklumat risikan yang dijalankan oleh anggota cawangan khas dari semasa ke semasa untuk menyusun semula strategi," katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Rabu.
Menurut beliau, semua ketua-ketua parti di peringkat akar umbi telah dipanggil dan diberikan taklimat berkait aspek keselamatan dan peraturan sepanjang PRU15.
Ujarnya, polis berharap semua ketua-ketua parti dapat memainkan peranan masing-masing dengan mewujudkan kestabilan dan keharmonian di musim PRU.
Muhamad Zaki memberitahu, tahap kesiapsiagaan Polis Kelantan berada pada landasan terbaik bagi memastikan kelancaran sepanjang penugasan PRU15.
Kata beliau, sebanyak 28 unit Pasukan Unit Tempur Ringan (LSF) telah siap sedia dan dibantu oleh Unit Tindakan Rusuhan Awam (Poru) dari Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).
"Selain keanggotaan, aset-aset yang akan diguna pada PRU15 turut berada dalam keadaan bersiap sedia," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!