Nafuzi puji prestasi pemain Terengganu FC
JURULATIH Terengganu FC (TFC), Mohd Nafuzi Zain memuji prestasi anak buahnya selepas mengesahkan tiket ke suku akhir Piala Malaysia pada malam Selasa.
Jelas beliau, skuad Penyu itu berjaya mengekalkan kedudukan agregat selesa ketika menentang Sri Pahang biarpun kekurangan seorang pemain pada babak pertama.
Jurulatih kelahiran Kelantan itu berkata, layangan kad merah kepada Shahrul Nizam Roshasni pada minit ke-37 telah meletakkan TFC dalam situasi bahaya, namun ia tidak mematahkan moral dan semangat pasukan itu.
"Beraksi dengan 10 pemain bukan satu yang mudah ditambah pula dengan keadaan permukaan padang tidak begitu baik. Ia memaksa pemain-pemain menggandakan usaha untuk mengekalkan momentum yang ada.
"Hujan lebat sejak petang dan keadaan padang becak dilihat mengganggu corak permainan TFC sehingga mereka tidak dapat bermain seperti kebiasaan.
"Bagaimanapun, keserasian dalam satu pasukan dan pemain saya juga bermati-matian untuk terus mara dalam kempen Piala Malaysia tahun ini," katanya ketika sidang akhbar di sini pada malam Selasa.
Tambah Nafuzi lagi, kemenangan selesa ke atas Sri Pahang adalah di luar jangkaan kerana beliau tidak memandang rendah prestasi skuad bimbingan Datuk Dollah Salleh itu.
Jelas beliau, berdasarkan senarai kesebelasan utama yang ditampilkan Skuad Tok Gajah itu ternyata turun dengan misi menjaringkan gol.
"Sebaik mendahului 4-0 sehingga tamat separuh masa, beberapa pemain dilihat hampir mengalami kecederaan. Saya tidak mahu mengambil risiko, jadi saya membuat pertukaran pemain.
"Sri Pahang berhasil menjaringkan dua gol selepas rehat. Apa pun, saya bangga dengan persembahan pemain-pemain TFC yang mahu mara lebih jauh dalam Piala Malaysia," katanya.
TFC mara ke suku akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Sri Pahang 4-2 hasil dua jaringan Kpah Sherman serta satu gol daripada Faisal Abdul Halim dan Azam Azmi Murad menjadikan pasukan itu berada dalam kedudukan selesa dengan agregat 9-3.
Pasukan itu dijangka bertemu juara bertahan Piala Malaysia dan finalis Piala AFC, KL City FC yang mengatasi PDRM 4-0 secara agregat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!