Bayern kekal rekod bersih

Choupo-Moting meledak satu gol ketika membantu Bayern mengalahkan Inter 2-0 dalam saingan Liga Juara-Juara. - Foto EPA
Choupo-Moting meledak satu gol ketika membantu Bayern mengalahkan Inter 2-0 dalam saingan Liga Juara-Juara. - Foto EPA
A
A
A

BAYERN Munich meneruskan rekod bersih apabila mencatat kemenangan keenam dalam saingan Liga Juara-Juara pada Rabu.

Inter Milan menjadi mangsa Bayern setelah dikalahkan 2-0 hasil jaringan Benjamin Pavard dan pemain sensasi, Eric-Maxim Choupo-Moting.

Choupo-Moting meneruskan sentuhan berbisanya dalam enam perlawanan berturut-turut untuk Bayern Munich sekali gus membantu gergasi Jerman itu selesa meneraju Kumpulan C.

“Kami tahu ia sesuatu yang istimewa menang semua enam perlawanan terutama dalam kumpulan sukar seperti ini,” ujar Choupo-Moting.

Dia merujuk kemenangan Bayern ke atas Inter, Barcelona dan Viktoria Plzen.

Inter dan Bayern merehatkan beberapa pemain utama dalam aksi terakhir kumpulan itu ekoran kedudukan mereka tidak tergugat kerana sudah mengesahkan slot ke pusingan 16 terbaik.

Pavard meletakkan tuan rumah di depan minit ke-32 menerusi tandukan dan Choupo-Moting hampir menambah gol kedua apabila sepakan akrobatiknya menerjah gawang tetapi dibatalkan kerana ofsaid.

Bagaimanapun, dia menebus kekecewaan apabila meledak rembatan minit ke-72 untuk gol kedua sekali gus jaringan keenamnya pada enam perlawanan terakhir buat Bayern dalam semua kejohanan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!