Tiga pemandu lori ditahan bersama rokok seludup RM350,000
KOTA BHARU - Polis Kelantan menahan tiga lelaki dan merampas rokok seludup bernilai RM350,000 dalam satu serbuan di Kampung Padang Mokan, Peringat di sini pada Selasa.
Rampasan rokok putih itu dilakukan polis selepas melakukan serbuan di sebuah stor berhampiran rumah tidak bernombor pada jam 8.20 pagi.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, hasil pemeriksaan yang dijalankan pihaknya berjaya memberkas tiga lelaki berusia 23 hingga 47 tahun yang merupakan pemandu lori bagi membantu siasatan.
"Polis berjaya menghidu aktiviti penyeludupan ini berdasarkan risikan dan maklumat yang diperoleh," katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, pada Rabu.
Menurut beliau, sebaik sahaja menerima maklumat sepasukan anggota telah mengekori kenderaan suspek dari Kemaman, Terengganu sebelum ditahan di tempat kejadian semasa sedang memunggah kotak rokok dari lori ke dalam stor.
Ujarnya, hasil siasatan awal, stor tempat kejadian adalah milik salah seorang suspek serta terletak bersebelahan dengan rumahnya dan dipercayai telah menjalankan aktiviti penyeludupan rokok sebanyak tiga kali sejak Mei lalu.
Muhamad Zaki berkata, salah seorang suspek turut berperanan membawa muatan rokok tersebut dari Terengganu untuk disimpan di stor tempat kejadian.
"Kita juga mengesan salah seorang daripada mereka berperanan sebagai tonto mengekori lori yang membawa muatan rokok seludup tersebut bagi pasaran di Kelantan.
"Kami turut menyita dua buah kereta dan sebuah lori yang dipercayai untuk aktiviti tersebut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!