Leka, pertahanan longgar punca Tok Gajah tewas

Dollah Salleh
Dollah Salleh
A
A
A

KELEKAAN mudah yang diulangi jentera tengah serta pertahanan longgar antara punca skuad Tok Gajah tewas di tangan Terengganu FC (TFC) dalam aksi timbal balik pusingan 16 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada malam Selasa.

Ketua jurulatihnya, Datuk Dollah Salleh berkata, Sri Pahang tumpas kepada pasukan lebih baik iaitu Terengganu FC (TFC) yang mendominasi dua pertemuan timbal balik dengan agregat 9-3.

Menurutnya, juara edisi 2013 dan 2014 itu terpaksa akur cabaran dalam saingan Piala Malaysia tahun ini berakhir setelah tewas di peringkat pusingan 16.

"Selepas tewas 1-5 di Kuantan, Sri Pahang datang ke laman lawan untuk berikan yang terbaik. Bagaimanapun, kami gagal ditambah permainan yang kucar-kacir pada babak pertama perlawanan.

"Barisan pertahanan begitu longgar dan nampak kelemahan ketara dengan mudah penyerang lawan melepasi kawalan pemain saya terutama dalam situasi satu lawan satu," katanya ketika sidang akhbar di sini malam Selasa.

Menurut Dollah, beliau melihat corak permainan yang TFC tidak terkesan dengan keadaan padang yang digenangi air sebaliknya Sri Pahang terkial-kial mencari rentak akibat keadaan cuaca tidak baik.

"Saya gembira pemain-pemain tidak berputus asa mencari gol cuma kami harus terima hakikat TFC lebih tersusun malam ini (semalam) dan layak diberi pujian," katanya.

Dalam pada itu, Dollah turut mengakui, kecederaan dialami tonggak, Nor Azam Azih yang terpaksa dikeluarkan pada minit ke-26 menjadi titik tolak Sri Pahang hilang tumpuan di bahagian tengah.

Artikel Berkaitan:

Katanya, jaringan gol Lee Tuck dan Steven Rodriguez sudah terlewat walaupun pada babak pertama skuad itu mempunyai kelebihan seorang pemain.

"Hanya selepas rehat kami dapat menyesuaikan diri dan beberapa aspek perlawanan berjaya ditingkatkan sehingga Sri Pahang memasuki kawasan berbahaya TFC.

"Malangnya, kelebihan jaringan dimiliki pasukan lawan terlalu selesa dan kami terpaksa akur dengan kekalahan secara agregat 3-9 ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!