Rafizi dedah sebab lama duduk dalam 'gua'
SEREMBAN - Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendedahkan sebab 'kehilangannya' selepas PRU14 sehingga dituduh pembangkang 'duduk dalam gua'.
Membuat penampilan pertama dalam ceramah umum sempena PRK DUN Rantau malam tadi, Rafizi berkata, beliau sudah lama tidak muncul di pentas ceramah kerana ingin berehat.
"Ada orang BN dan Pas cakap, lepas menang Rafizi banyak tipu, dia sudah malu, duduk dalam gua. Sebab itu dia tak keluar ceramah.
"Saya tidak ceramah sepuluh bulan sebab saya nak rehat," katanya dalam ceramah umum PH di pekan Rantau di sini, malam tadi.
Turut hadir, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dan calon PH, Dr S Streram.
Selain itu, menurut Rafizi, beliau mahu meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.
"Bila sudah menang, anak saya usia lima tahun masuk tadika. Kalau saya tak ambik masa dua tiga tahun (rehat), saya tak akan ada peluang tengok anak saya masuk sekolah," katanya.
Bekas Ahli Parlimen Pandan itu turut mengejutkan hadirin apabila memberitahu mengalami masalah kesihatan berkaitan hati.
"Saya bukan sakit hati kepada pembangkang atau kerajaan. Tetapi saya memang ada sakit pada hati.
"Doktor syak ada masalah keradangan pada hati dan esofagus ada ulser. Doktor suruh saya rehat dua tiga tahun tapi sebab tinggal tiga hari saja untuk berkempen, saya turun juga ke Rantau," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!