Prosiding bela diri Ahmad Zahid sambung tahun depan
KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Prosiding bela diri kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi membabitkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersambung Januari tahun depan.
Prosiding yang dijadualkan di Mahkamah Tinggi pada Rabu di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, ditangguhkan selepas peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik berkata, rayuan interlokutori dalam kes itu ditetapkan untuk didengar di Mahkamah Rayuan pada 14 November ini.
Untuk rekod, Ahmad Zahid merayu untuk mendapatkan keterangan 15 saksi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes rasuah yang ditolak Sequerah pada 9 Mei lalu.
Hisyam yang mewakili bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, keputusan rayuan berkenaan penting bagi membantu mereka menentukan jumlah dan turutan saksi-saksi pembelaan yang akan dipanggil memberi keterangan kelak.
Pada 18 Februari lepas, pasukan pembelaan Ahmad Zahid memfailkan permohonan untuk mendapatkan kenyataan saksi terbabit.
Antaranya ialah kenyataan Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi kerana mendakwa mempunyai kaitan dengan pertuduhan ke-11 yang dihadapi calon BN bagi kerusi Parlimen Bagan Datuk itu.
Hisyam kemudiannya memohon mahkamah supaya melapangkan perbicaraan yang ditetapkan pada Khamis, 9 serta 10 November ini sementara menunggu keputusan prosiding di Putrajaya.
“Apa pun keputusan di sana kelak, ini akan membantu pihak pembelaan dalam menentukan saksi yang akan dipanggil,” katanya.
Sequerah: Berapa lagi bilangan saksi?
Hisyam: Ada banyak saksi yang ditawarkan kepada pihak pembelaan dan kami memerlukan bimbingan daripada Mahkamah Rayuan sama ada kami boleh mendapatkan pernyataan saksi mereka atau sebaliknya, jadi kita dalam dilema.
Sequerah: Ada saksi lain (untuk prosiding hari ini)?
Hisyam: Tidak, Yang Arif.
Mahkamah sepatutnya mendengar prosiding soal balas saksi pembelaan keenam, bekas Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Ahmad Zahid ketika itu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Mohd Kamal Abdullah, 65.
Hisyam berkata, seorang lagi saksi pembelaan daripada Bagan Datuk yang sepatutnya memberi keterangan pada Rabu, tidak hadir kerana tidak sihat.
Mendengar perkara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob tidak membantah sekiranya prosiding ini ditangguhkan dan menyerahkan perkara itu kepada budi bicara mahkamah.
Sequerah kemudiannya membenarkan penangguhan prosiding dan menetapkan perbicaraan didengar selama 21 hari iaitu pada 16 hingga 19 Januari, 30 dan 31 Januari, 7 hingga 9 Februari, 27 hingga 30 Mac, 10 hingga 13 April dan 15 hingga 18 Mei 2023.
Ahmad Zahid, 69, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!