PRU15: MIC akur tanding 10 kerusi Parlimen, tiga DUN
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] MIC membuat keputusan untuk akur dan bertanding di 10 kerusi Parlimen serta tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini.
Presidennya, Tan Sri S A Vigneswaran berkata, parti itu menerima ketetapan yang dibuat Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan menyifatkannya sebagai adil.
"Saya ingin memaklumkan bahawa setelah BN mengumumkan calon Parlimen MIC, kami menerima dan membuat keputusan bahawa ia adalah satu keputusan yang adil oleh pucuk pimpinan BN.
"MIC juga berharap setelah Pengerusi BN menamakan calon Parlimen, nama berkenaan diterima dengan hati terbuka di kawasan yang mana UMNO, MCA dan MIC bertanding.
"Saya juga ingin mengingatkan agar semua pimpinan dan bahagian MIC di seluruh negara untuk memberi sokongan penuh kepada semua calon parti BN yang bertanding," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pusat (CWC), di Ibu Pejabat MIC, di sini pada Rabu.
Turut hadir pada mesyuarat itu adalah Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan; Naib Presiden, Datuk T Mohan dan Ketua Wanita, Datuk Mohana Muniandy.
Sementara itu, Vigneswaran turut berlapang dada dan menyatakan MIC menerima keputusan BN yang memperuntukkan kerusi kepada parti bangsa India lain yang menyokong BN.
Tiga parti tersebut ialah Makkal Sakti, Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) dan Kongres India Muslim Bersatu (Kimma).
Mesyuarat kali ini menjadi tumpuan setelah kepemimpinan parti itu dikatakan protes dan tidak hadir pada majlis pengumuman calon Parlimen BN untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang berlangsung pada Selasa.
Ia dikatakan berpunca daripada bantahan pengagihan kawasan dan kerusi serta peruntukan kerusi kepada Friends of BN.
BN memperuntukkan 10 kerusi Parlimen dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak dan satu DUN di Pahang untuk MIC pada PRU15 kali ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!