Parlimen Batu: Rujuk keputusan Pengerusi BN
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran menegaskan kerusi Parlimen Batu diperuntukkan untuk MIC dan bukannya MCA.
Ia sekali gus menolak kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang memberitahu MCA akan bertanding di kerusi tersebut.
Menurutnya, sebarang pengumuman dan perkara berbangkit berkaitan kerusi yang ditandingi BN hanya boleh dikeluarkan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
"Saya tak tahu dia (Ka Siong) cakap tentang Batu mana. Calonnya adalah daripada MIC iaitu Kohilan Pillay.
"Apa yang paling penting, sebarang pengumuman perlu datang dari Pengerusi BN. Jika Ka Siong nak buat sebarang perubahan, dia perlu rujuk dan berbincang dengan Pengerusi BN," katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pusat (CWC) di Ibu Pejabat MIC di sini pada Rabu.
Turut hadir pada mesyuarat itu adalah Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan; Naib Presiden, Datuk T Mohan dan Ketua Wanita, Datuk Mohana Muniandy.
Wakil MIC iaitu A Kohillan Pillay diumumkan sebagai calon di Parlimen Batu pada Majlis Pengumuman Calon Parlimen BN untuk PRU15 yang berlangsung pada Selasa.
Bagaimanapun pada Rabu, Ka Siong menjelaskan MCA akan bertanding di kerusi Parlimen Batu dan bukannya MIC.
Jelasnya, keputusan itu dibuat selepas beliau membuat perjumpaan dengan Ahmad Zahid yang mengesahkan bahawa Parlimen Batu itu merupakan kerusi yang akan ditandingi MCA.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!