Mohd Shafiq Fhadly galas maruah BN ke Larut
IPOH - Calon BN Parlimen Larut, Mohd Shafiq Fhadly Mahmud bersedia untuk bekerja keras mengembalikan kemenangan kepada parti itu, meskipun namanya disenaraikan pada saat akhir menggantikan Datuk Mohd Kazim Elias.
Mohd Shafiq Fhadly, 37, berkata, gerak kerja di kawasan itu bukan dilakukan sekadar menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tetapi sejak keputusan PRU 2018 lagi dengan matlamat memastikan kerusi Larut kembali menjadi milik BN.
Walaupun dianggap sebagai calon 'underdog', itu tidak mencalarkan semangat saya kerana saya membawa semangat jentera BN di Larut.
"Bagi saya apa yang BN pertaruhkan bukan sekadar diri saya, tetapi maruah UMNO di Larut.
"Pada PRU14, rakyat beri mandat kepada BN memenangi kerusi Parlimen, tetapi malangnya rakyat telah dikhianati dan ini peluang untjk buktikan semula bahawa rakyat Larut masih bersama BN," katanya ketika ditemui pemberita selepas Pengumuman Calon BN Perak di sini pada Rabu.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO Larut itu, mengakui sedikit terkejut dengan perubahan pencalonan kerana pada awalnya disenaraikan di kerusi DUN Kubu Gajah.
Bagaimanapun Jurutera Petroleum itu berkata, keadaan itu sedikit pun tidak menjadikan dirinya gentar berdepan nama-nama besar termasuk penyandang kerusi, Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin.
"Baru pagi ini jam 7 pagi saya dimaklumkan dipindahkan ke Parlimen. Apa pun saya sudah bersedia berdepan tidak kira sesiapa pun.
"Saya mengharapkan pengundi beri peluang kepada saya sebagai anak muda membawa perubahan yang lebih baik di Larut," katanya.
Mohd Kazim yang dikenali Ustaz Kazim telah menarik diri sebagai calon BN di kerusi Parlimen Larut pada saat akhir.
Pada PRU14 lalu, Hamzah menang kerusi Parlimen Larut atas tiket BN selepas mengalahkan calon Pas, Abu Husin Mohamad dengan majoriti undi sebanyak 4,486.
Selepas itu, beliau keluar dari UMNO dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 2019.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!