Menang atau tidak, Malar serahkan kepada kuasa pengundi
MUKADIMAH: Gimik menyepit mulut selama dua hari berjaya membuatkan calon Bebas, R Malar, 51, meraih perhatian rakyat di Rantau. Meskipun tidak mempunyai jentera kempen yang besar seperti calon BN dan PH, kegigihan Malar berjalan dari rumah ke rumah menemui penduduk di Rantau wajar dipuji. Ikuti wawancara bersama Malar bagi mengetahui perancangannya dalam kempen PRK DUN Rantau.
SINAR HARIAN: Apakah motivasi anda untuk turun berkempen?
MALAR: Saya sendiri berasal dari kampung dan banyak masalah di kampung saya. Sehingga kini saya masih menanti lampu jalan dan jalan tar tetapi belum dapat lagi. Jadi saya mahu bekerja untuk menyelesaikan masalah-masalah seperti itu. Saya nak membantu penduduk di Rantau. Malah, manifesto yang terkandung dalam risalah kempen saya semuanya adalah berdasarkan masalah saya dan suara saya sendiri.
Apakah sasaran anda untuk menembusi pengundi di DUN Rantau?
MALAR: Saya rasa mungkin tidak dapat capai 100 peratus kerana pasukan saya kecil saja. Hanya ada tiga orang. Kadangkala saya terpaksa keluar berkempen seorang diri. Tetapi saya akan cuba sekurang-kurangnya menemui 70 peratus penduduk Rantau dalam tempoh dua minggu berkempen. Saya bersyukur kerana penduduk Rantau yang ditemui merestui keputusan saya bertanding dan mereka turut memberi kata-kata semangat.
Sebagai calon Bebas, adakah anda sedar peluang untuk menang itu amat sukar?
MALAR: Sama ada saya mampu menang atau tidak, biar pengundi saja buat keputusan pada Sabtu ini. Memang saya orang baru tetapi saya mahu rakyat Rantau mendengar manifesto saya dan menilai sendiri sama ada mahu memberikan sokongan atau tidak. Terpulanglah kepada mereka.
Jika kalah, apakah yang anda akan lakukan?
MALAR: Kalau kalah, saya nak rehat dulu. Tapi kalah itu bagi saya adalah satu perkataan yang tidak baik. Buat masa ini, saya tidak mahu dengar atau ingat tentang kekalahan. Namun, jika memang ditakdirkan kalah, saya tidak akan berhenti bantu penduduk Rantau.
Adakah anda akan terus bergerak sendiri atau menyertai mana-mana parti politik selepas ini?
MALAR: Tidak mungkin. Saya lebih suka bergerak secara bebas. Jika sertai parti yang besar, saya harus melalui kerenah birokrasi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!