Muhammad Khairil sedia tawan hati pengundi

Muhammad Khairil dan Chi Yang.
Muhammad Khairil dan Chi Yang.
A
A
A

BENTONG - Peguam, Muhammad Khairil Khalid mengakui tugas getir menantinya sebagai calon DAP di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Manis di bawah Parlimen Pekan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Namun itu tidak melemahkan semangat anak kelahiran Subang Jaya itu untuk bertanding di kubu kuat BN.

"Saya teruja untuk membawa cabaran parti keluar dari zon selesa dan masuk ke kawasan baharu. Walaupun sukar, tapi saya akan cuba sedaya upaya memberikan yang terbaik.

"Insya-ALLAH saya juga sudah bersedia untuk berjumpa dan menawan hati mereka (pengundi) di kawasan tersebut," kata pemegang Ijazah Sarjana Muda Kepujian Undang-Undang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah alam.

Muhammad Khairil, 33, antara tiga calon Melayu yang menjadi taruhan DAP pada PRU15.

Selain Khairil, dua lagi calon Melayu, Timbalan Setiausaha Agung DAP, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji akan bertanding di Parlimen Lipis serta bertanding DUN Tras, manakala Young Syefura Othman di Parlimen Bentong.

Ditanya alasannya memilih DAP, Muhammad Khairil yang bergiat aktif dalam politik sejak 2013 berkata, parti tersebut adalah satu wadah yang meraikan kepelbagaian pendapat.

"Ia juga memberi peluang kepada generasi muda untuk ke depan di dalam 'front line' politik," tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Khairil juga pernah menjawat jawatan Pegawai Penyelidik Pejabat Speaker Selangor selama dua tahun mulai tahun 2014.

Sementara itu, calon termuda, Ho Chi Yang, 27, yang bertanding di DUN Tanah Rata tidak menjadikan faktor umur sebagai penghalang untuk bertanding di kawasan tersebut.

Anak kelahiran Perak itu berkata, pengalamannya sebagai pegawai khas ADUN Tanah Rata sebelum ini digunakan sebaik mungkin dan kelebihan buatnya kerana mengetahui selok-belok kawasan tersebut.

"Pengalaman mendengar suara rakyat sebelum ini membuat saya sudah bersedia untuk berdepan calon lain," kata anak kedua daripada tiga beradik itu lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!