Jika semua kejar jadi influencer, negara bakal kekurangan pakar

Laporan Sinar Harian pada Ahad
Laporan Sinar Harian pada Ahad
A
A
A

SHAH ALAM - Sikap kebanyakan generasi muda yang kini lebih gemar menjadi ‘influencer’ atau pempengaruh hingga tidak berminat untuk menyambung pelajaran dijangka membawa implikasi negatif seperti kekurangan tenaga pakar dalam negara.

Menurut Pensyarah Sumber Manusia, Dr Muhammad Aiman Ariffin, kebanyakan institusi pengajian tinggi (IPT) menawarkan program-program yang menjana kemahiran bagi keperluan negara

Ujar beliau, sekiranya ia disia-siakan maka perkara tersebut akan menyebabkan negara bakal menghadapi jurang besar dalam mengetengahkan bakat-bakat penting kepada negara.

“Saya bagi contoh, kalau dia belajar dalam bidang sumber manusia, tiba- tiba dia pilih untuk jadi ‘influencer’, negara dilihat sudah pun kehilangan beberapa bakat, kalau seorang sahaja tidak mengapa, bagaimana pula kalau ramai?

Dr Muhammad Aiman
Dr Muhammad Aiman

“Tetapi memang saya tidak nafikan ramai yang berminat hendak jadi ‘influencer’ ini memandangkan generasi muda kini lebih suka kepada kerja yang bersifat fleksibiliti, tidak suka kepada tekanan dan bersifat autonomi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Sebelum ini pempengaruh media sosial, Syed Umar Sadique Syed Ab Rahman atau dikenali sebagai Marc Sadique berkata, setiap orang perlu memastikan mereka mempunyai ilmu dan kerjaya profesional dalam kehidupan mereka.

Beliau berkata demikian dalam rancangan Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU15 bertajuk Influencer Mampu Didik Belia yang dihoskan Asmaliza Mansor yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Tambah Muhammad Aiman, minat untuk belajar dalam kalangan generasi muda dilihat luntur kerana kekurangan peluang pekerjaan dalam bidang yang dipelajari mereka ketika ini.

Justeru menurutnya, keadaan tersebut menyebabkan pelajar merasa tiada gunanya belajar kalau tiada faedah seperti tiada kerja sesuai yang dapat diperoleh.

“Saya kira ini adalah tanggungjawab bersama kerajaan dan pihak perindustrian untuk usahakan penawaran kerja lebih banyak kepada generasi muda ini pada masa akan datang.

“Mereka juga perlu didedahkan tentang fungsi jurusan yang mereka pelajari di mana-mana IPT kepada negara agar minat tentangnya tidak luntur,” tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!