PRU15: PH buat perubahan kecil calon susulan pengumuman BN
KLANG - Pakatan Harapan (PH) akan melakukan perubahan kecil ke atas senarai calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) susulan pengumuman barisan calon Barisan Nasional (BN), kata Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, walaupun PH telah mengumumkan calon mereka, namun beliau akan berbincang dengan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu susulan pengumuman yang dibuat BN malam Selasa.
"Terdapat beberapa perubahan kecil berdasarkan pengumuman BN," katanya ketika sidang akhbar selepas melancarkan manifesto PH bagi PRU15 di sini pada Rabu.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada malam Selasa mengumumkan calon gabungan itu yang bertanding di Semenanjung Malaysia pada pilihan raya akan datang termasuk dirinya untuk mempertahankan kerusi Bagan Datuk dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri di Bera.
Ditanya adakah PH tergugat dengan calon yang diumumkan BN dan Perikatan Nasional (PN), Anwar berkata: "Tidak."
Mengenai jumlah kerusi yang disasarkan oleh PH untuk menang dalam pilihan raya umum kali ini, Anwar berkata, PH menyasarkan untuk memperoleh 112 kerusi dengan majoriti mudah.
"Kami agak realistik...untuk mendapatkan majoriti mudah. Dan Insya-ALLAH dengan kempen berterusan dan tahap sokongan yang kami saksikan, rakyat lebih bersemangat dan teruja untuk menyokong PH,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!