Polis Pulau Pinang pastikan pusat penamaan calon selamat

Mohd Shuhaily bercakap kepada media selepas membuat tinjauan persiapan menjelang PRU15 di Pusat Penamaan Calon Bukit Mertajam di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah. - Foto Bernama
Mohd Shuhaily bercakap kepada media selepas membuat tinjauan persiapan menjelang PRU15 di Pusat Penamaan Calon Bukit Mertajam di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah. - Foto Bernama
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Polis memberi jaminan kesemua 13 pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Pulau Pinang menepati kehendak keselamatan dan keselesaan semasa proses berkenaan berlangsung Sabtu ini serta penjumlahan undi kelak.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, beliau sendiri turun ke kesemua pusat penamaan calon itu pada Rabu bagi memastikan pihak polis mematuhi dan mengikuti kehendak yang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mahukan untuk lokasi-lokasi terbabit.

"Di Pulau Pinang terdapat 13 Parlimen dan untuk itu 13 pusat penamaan calon telah ditetapkan, jadi hari ini saya mengadakan lawatan serta pemeriksaan untuk melihat persediaan menjelang penamaan calon Sabtu ini, kami juga menjalinkan kerjasama baik dengan pihak SPR.

"Setakat ini, pemilihan tempat penamaan calon bertepatan dengan kehendak keselamatan dan keselesaan bagi proses tersebut serta penjumlahan undi pada 19 November nanti. Setakat ini, juga tiada perkara berbangkit, jika ada saya akan beri komen dan pandangan yang perlu kepada ketua polis daerah untuk diperkemaskan sebelum 5 November nanti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pemeriksaan di pusat penamaan calon bagi Parlimen Bukit Mertajam di Dewan Serbaguna Pejabat Tanah dan Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di sini pada Rabu.

Dua lagi pusat penamaan calon di SPT ialah Parlimen Permatang Pauh di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Bukit Mertajam dan Kolej Vokasional Seberang Perai (Parlimen Batu Kawan), manakala bagi daerah Seberang Perai Selatan di Dewan Serbaguna Jawi (Parlimen Nibong Tebal).

Bagi daerah Seberang Perai Utara (SPU) pula membabitkan pusat penamaan calon di Dewan Datuk Haji Ahmad Badawi (Parlimen Bagan), Institut Latihan Perindustrian Kepala Batas (Parlimen Kepala Batas) dan Institut Kemahiran Mara SPU (Parlimen Tasek Gelugor).

Daerah Timur Laut pula terdapat empat pusat penamaan calon iaitu Kompleks Masyarakat Penyayang (Parlimen Bukit Bendera), Dewan Seri Pinang (Parlimen Tanjong), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penang Free (Parlimen Jelutong) dan SMK Chung Hwa Confucian (Parlimen Bukit Gelugor), manakala Daerah Barat Daya di SMK Sungai Ara (Parlimen Bayan Baru) dan Politeknik Balik Pulau (Parlimen Balik Pulau)

Sementara itu, Mohd Shuhaily berkata, pihak polis memohon penyokong dan wakil calon bertanding supaya mematuhi undang-undang serta tidak membuat sebarang provokasi bagi memastikan perjalanan proses penamaan calon berjalan lancar.

Artikel Berkaitan:

"Semua pihak terutama penyokong parti perlu tahu semua proses PRU15 ini telah dirancang dengan penekanan diberi kepada aspek ketelusan, sebab itu semua wakil calon ada dalam setiap proses pilihan raya ini supaya tidak timbul keraguan bagi sebarang keputusan kelak," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!