PRU15: Muka baharu BN Perak tekad buat kejutan

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Calon-calon muka baharu Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen Perak tekad untuk mencipta kejutan dan memenangi kerusi ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Aminuddin Md Hanafiah yang dipilih sebagai calon BN di Parlimen Tambun menyifatkan beliau berdepan cabaran apabila bertemu dua nama besar, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan penyandang kerusi itu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagi mengembalikan semula kerusi Parlimen itu kepada BN.

"Perkara itu tidak melemahkan semangat kerana saya yakin pengundi Tambun bijak memilih dan menilai parti yang selayaknya dilantik bagi mewakili mereka,” katanya kepada Bernama selepas pengumuman calon BN oleh pengerusi negeri, Datuk Seri Saarani Mohamad pada Rabu.

Calon BN DUN Pengkalan Baharu, Azman Noh pula berkata, BN mengotakan janji dengan menampilkan wajah-wajah segar dan berpengalaman untuk menggalas amanah sebagai calon gabungan parti itu pada PRU15.

"Terbukti BN mahukan perubahan dengan menampilkan 70 peratus muka baharu seperti yang disuarakan sebelum ini dan sebagai calon baharu, saya berjanji berusaha bermati-matian bagi memastikan BN kekal di Pengkalan Baharu," katanya.

Ketua Koordinator Komunikasi BN dan Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Larut, Mohd Shafiq Fhadly Mahmud, 37, pula menyifatkan pemilihannya bagi menggantikan pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias yang menarik diri di saat akhir, akan dilaksanakan sebaik-baiknya.

"Penyandang (Datuk Seri Hamzah Zainudin) merupakan figura politik dan saya harap pertembungan kami adalah pertembungan yang sihat yang mana kita hanya mahu melihat mandat daripada rakyat kerana PRU sebelum ini, rakyat beri mandat kepada BN," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menolak dakwaan bahawa pencalonan beliau di Parlimen Gerik sebagai calon payung terjun, sebaliknya untuk memenuhi mandat pucuk pimpinan bagi PRU15.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, calon kerusi Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Maslin Sham Razman berkata, tanggungjawab atas tiket calon baharu ini tidak asing baginya kerana telah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selama dua penggal.

"Bagi menggantikan (penyandang kerusi Parlimen Kuala Kangsar) Datuk Mastura Mohd Yazid, ia merupakan penghormatan bagi saya dan ia bukanlah tugas yang mudah untuk digalas, namun saya akan cuba membuat yang terbaik,” katanya.

DUN Perak mempunyai 59 kerusi. Sebelum pembubaran pada 17 Oktober, ia terdiri daripada 25 ADUN BN, DAP (15), Parti Amanah Negara (lima), Bersatu (empat) manakala Pas, PKR dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) masing-masing tiga, manakala Bebas (satu). - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!