GTA belum ada calon PM
BANGI - [DIKEMAS KINI] Gerakan Tanah Air (GTA) ketika ini belum memiliki calon Perdana Menteri yang akan dilantik sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Pengerusi Penajanya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, bakal pemimpin nombor satu negara itu hanya akan diumumkan selepas gerakan itu berjaya memenangi pilihan raya pada 19 November nanti.
“Kita tidak ada calon Perdana Menteri daripada GTA buat masa ini. Calon Perdana Menteri hanya akan ditentukan kalau kita menang.
“Kalau tidak menang (nanti), mencalonkan Perdana Menteri tidak ada makna,” katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Pengumuman Calon PRU15 GTA- Pejuang di Pusat Konvensyen Bangi, di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada GTA telah menetapkan siapa bakal Perdana Menteri sekiranya gabungan itu memenangi PRU15 nanti.
Sementara itu, ditanya mengenai bila manifesto gabungan itu akan dilancarkan, Dr Mahathir yang juga calon Parlimen Langkawi menjelaskan ia akan dibuat dalam masa terdekat ini.
“Manifesto ini akan diumumkan dalam masa sehari dua lagi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!