Al-Quran tulisan rumi, terjemahan semata-mata adalah tidak sah

Ahmad Hilmi ketika menyampaikan ucapan Program Seminar Kawal Selia Penerbitan al Quran Peringkat Selangor di Kompleks Kumpulan Karangkraf dekat sini pada Rabu.
Ahmad Hilmi ketika menyampaikan ucapan Program Seminar Kawal Selia Penerbitan al Quran Peringkat Selangor di Kompleks Kumpulan Karangkraf dekat sini pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan bahawa mushaf al-Quran yang dicetak dalam tulisan rumi adalah diharamkan dan tidak sah untuk diterbitkan dalam negara ini.

Menurut Pengarah KDN Selangor, Ahmad Hilmi Said, ini kerana ia akan membawa implikasi buruk di dalam gaya pembacaan al-Quran.

Ujarnya, mushaf-mushaf dalam bentuk terjemahan semata-mata yang semakin berleluasa kini juga adalah tidak dibenarkan.

“Menerusi keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan yang telah diputuskan, mushaf-mushaf sedemikian adalah diharamkan dan tidak dibenarkan. Segala bentuk penulisan abjad al-Quran mestilah ditulis dalam bahasa asalnya iaitu bahasa Arab.

“Ini penting kerana jika al-Quran diperkenalkan dalam bentuk tulisan Arab yang dirumikan atau terjemahan semata-mata ia bakal memberi implikasi buruk terutama anak-anak kita.

“Nanti ramai pula yang tidak tahu membaca al-Quran dengan kaedah sebenar,” katanya ketika menyampaikan ucapan semasa Program Seminar Kawal Selia Penerbitan al Quran Peringkat Negeri Selangor di Kompleks Kumpulan Karangkraf dekat sini pada Rabu.

Program tersebut dianjurkan hasil kerjasama antara Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan KDN.

Hadir sama, Pengasas WUIF, Datuk Dr. Hussamuddin Yaacub; Ketua Penolong Setiausaha Regulatori Al-Quran dan Hadis KDN, Dr Mohd Zamir Bahall; Ahli Lajnah Tasheh Al-Quran, Mohd Raof Samsuri dan Pegawai Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Deputi Superintendan Wan Ruzailan Wan Mat Rusoff.

Artikel Berkaitan:

Pada masa yang sama, Ahmad Hilmi berkata, orang ramai hendaklah mendapatkan mushaf al-Quran yang telah disemak dan disaring oleh KDN.

“Mulai 2 November 2017, kita sudah ada satu hologram khas yang mana boleh didapati pada mana-mana al-Quran yang telah mendapat kelulusan KDN untuk diterbitkan, jadi orang ramai boleh lihatnya,” ulasnya.

Tambah beliau, penapisan dan saringan terutama melibatkan mushaf al-Quran sentiasa diambil berat KDN bagi mengelakkan anasir-anasir akibat salah faham terhadap pemahaman kitab suci itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!