Dua polis cedera diserang lelaki mabuk guna batu
KLANG - Dua anggota polis cedera selepas diserang lelaki mabuk yang menceroboh sebuah rumah dalam kejadian di Batu 4 Jalan Kapar di sini pada awal pagi Rabu.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, pada jam 2.04 pagi, Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara telah menerima panggilan MERS 999 daripada seorang lelaki tempatan memaklumkan rumahnya dimasuki individu tidak dikenali.
"Dua anggota kereta peronda polis (MPV) IPD Klang Utara telah dihantar ke lokasi terbabit.
"Apabila sampai di lokasi, didapati lelaki yang menceroboh rumah terbabit berada di kediaman itu," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, semasa tangkapan hendak dibuat, lelaki terbabit bertindak agresif dan menyerang dua anggota polis berusia lingkungan 30 dan 50-an itu menggunakan batu.
"Tindakan suspek itu mengakibatkan seorang anggota polis mengalami lebam di kepala manakala seorang lagi menerima enam jahitan di kepala akibat pergelutan.
"Suspek warga Sri Lanka berusia 36 tahun kemudian berjaya diberkas dan ujian saringan air kencing suspek negatif dadah," ujarnya.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek berada dalam keadaan mabuk dan telah menceroboh masuk ke pekarangan rumah terbabit.
"Suspek kini ditahan di IPD Klang Utara untuk siasatan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan," tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!