Reezal akan dilantik menteri jika pertahan Kepala Batas: PM

Reezal Merican menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Projek Program Perumahan Rakyat (PPR), Masjid Bandar Putra Bertam dan Kepala Batas Youth Centre (KBYC) pada Rabu. - Foto Bernama
Reezal Merican menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Projek Program Perumahan Rakyat (PPR), Masjid Bandar Putra Bertam dan Kepala Batas Youth Centre (KBYC) pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KEPALA BATAS - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican akan dilantik semula sebagai Menteri Kabinet jika BN diberi mandat oleh rakyat membentuk kerajaan dan calon BN itu menang di Parlimen Kepala Batas.

Ismail Sabri yang merupakan calon Perdana Menteri BN bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), yakin Reezal Merican yang diumumkan sebagai calon BN Parlimen Kepala Batas semalam akan mempertahankan kerusi itu bagi penggal ketiga pada 19 November ini berikutan pencapaian cemerlang dalam kerajaan.

"Ahli Parlimen ini rajin. Reezal Merican bukan sahaja cemerlang dari segi ahli Parlimen tetapi juga sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Baru setahun lebih, memegang jawatan itu, pelbagai program bagi kepentingan rakyat dilaksanakan.

"Kalau dah cemerlang, kita pastikan beliau kekal sebagai Ahli Parlimen Kepala Batas,” katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Program Perumahan Rakyat (PPR), Masjid Bandar Putra Bertam dan Kepala Batas Youth Centre (KBYC) di sini pada Rabu.

Pada PRU14, Reezal Merican memenangi kerusi Parlimen Kepala Batas dengan 4,736 undi majoriti, menewaskan calon PKR, Dr Zaidi Zakaria dan Siti Mastura Muhammad (PAS), selepas memperoleh 22,459 undi.

Kerusi Parlimen Kepala Batas yang merupakan kerusi legasi bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dikuasai BN sejak 35 tahun lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November sebagai tarikh pengundian bagi PRU15, penamaan calon pada 5 November dan pengundian awal pada 15 November. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!