Juara 33 kali mara suku akhir di bawah prestasi sebenar

CHENG HOE. - Foto FB Selangor FC
CHENG HOE. - Foto FB Selangor FC
A
A
A

JUARA 33 kali Selangor FC beraksi di bawah prestasi sebenar ketika melakar kemenangan 1-0 ke atas Kelantan United dalam perlawanan kedua pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Selasa.

Itu kesimpulan pengendali Selangor, Tan Cheng Hoe, selepas jaringan gol Nik Akif Syahiran pada masa kecederaan separuh masa kedua mengesahkan kemaraan pasukan pilihan tersebut ke suku akhir.

“Sejujurnya memang kita layak ke peringkat suku akhir selepas perlawanan malam ini dalam keadaan para pemain mempamerkan prestasi 'below par' masing-masing.

“Sebagai coach sememangnya saya tidak berpuas hati kerana terlalu banyak kelemahan yang cukup ketara dilakukan para pemain. Ini jelas ketara apabila percubaan tidak ke gawang lawan, selain hantaran kepada team mate juga tidak tepat.

“Saya harap perlawanan ini jadi pengajaran kepada pemain Selangor untuk lebih fokus sepanjang 90 minit dalam perlawanan seterusnya,” katanya selepas perlawanan.

Selangor layak ke peringkat suku akhir dengan keputusan agregat 3-0 selepas menewaskan Kelantan United 1-0 di Stadium MBPJ, sekali gus mengesahkan pertemuan menentang Negeri Sembilan FC.

Pada masa sama bekas pengendali Harimau Malaya itu mengakui Negeri Sembilan lawan di peringkat suku akhir merupakan pasukan yang cukup berpengalaman.

“Saya percaya para pemain mengetahui kelemahan masing-masing dalam perlawanan ini dan akan memperbaikinya menjelang perlawanan suku akhir.

Artikel Berkaitan:

“Sekiranya faktor keletihan dijadikan alasan prestasi below par malam ini, Kelantan United tampil memberikan tentangan sengit kepada Selangor.

“Kemungkinan para pemain berada dalam zon selesa selain kita dapat lihat beberapa peluang terhidang gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan sedikit sebanyak menjejaskan keyakinan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!