Ramanan masih kekal calon PKR di Sungai Buloh
SHAH ALAM - Timbalan Ketua Penerangan 1, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk R Ramanan masih kekal sebagai calon di Parlimen Sungai Buloh seperti mana diumumkan sebelum ini.
Perkara itu ditegaskan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada Majlis Memperkenalkan Calon-Calon PH Parlimen Selangor bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di sini pada Rabu.
"Setakat ini PH Selangor meneruskan pengumuman calon di majlis ini seperti yang dirancang.
"Kita yakin (hasil) perbincangan yang panjang telah diumumkan sebelum ini dan masing-masing perlu patuh dan akur dengan beberapa keputusan yang telah dibuat," katanya pada majlis diadakan di Dewan Raja Muda Musa di Seksyen 7.
Pada Rabu, PKR memberi bayangan parti itu berkemungkinan menukar calon yang bertanding di Parlimen Sungai Buloh selepas BN mengumumkan Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebagai calon di kawasan itu.
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam ciapan di Twitter memaklumkan, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan hal berkenaan.
"Saya akan berbincang dengan @anwaribrahim mengenai maklum balas pengundi di Sg (Sungai) Buloh mengenai calon PKR setakat ini.
"Saya hargai semua pandangan. Keputusan akhir adalah keputusan beliau (Anwar) sebagai Presiden parti," ciap beliau pada Rabu.
BN semalam mengumumkan penyandang kerusi Rembau itu sebagai calon Parlimen Sungai Buloh manakala PKR pula mencalonkan Timbalan Ketua Penerangan 1 parti itu, Datuk R Ramanan.
Selepas pengumuman Khairy sebagai calon di Parlimen berkenaan, terdapat pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial yang menggesa PH untuk menukar calon mereka.
Sebelum ini, Sungai Buloh adalah kerusi campuran yang disandang R Sivarasa dari PKR sejak 2008.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!