Mungkin enjin kereta meletup jika pandu bawah had ditetapkan

Gambar hiasan. Foto: 123RF
Gambar hiasan. Foto: 123RF
A
A
A

SINAR Harian pada Rabu melaporkan kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim bahawa 80 peratus kemalangan di negara ini adalah berpunca daripada sikap pengguna jalan raya.

Walaupun Zailani tidak menjelaskan dengan lanjut sikap pengguna jalan raya yang dimaksudkannya, namun Merak Jalanan amat bersetuju bahawa kebanyakan nahas yang berlaku terutamanya kemalangan maut adalah berpunca daripada sikap pemandu.

Antara sikap pemandu yang boleh mengundang kemalangan dilihat sendiri oleh Merak Jalanan adalah gemar memandu laju melebihi had laju yang ditetapkan.

Memandu dengan laju boleh menyebabkan pemandu mudah hilang kawalan hingga menyebabkan kemalangan, malah memandu dengan laju juga dikenal pasti sebagai sebab utama kemalangan maut di negara ini.

Salah satunya tentulah sikap sikap gemar memandu melebihi had laju yang ditetapkan. Merak Jalanan tidak faham kenapa terdapat sesetengah pemandu seakan-akan ada alahan mematuhi had laju ditetapkan. Mungkin mereka bimbang enjin kereta mereka meletup jika memandu di bawah had ditetapkan.

Selain memandu dengan laju, satu lagi sikap pemandu yang sering dilihat oleh Merak Jalanan adalah gemar memotong di garisan berkembar.

Merak Jalanan tidak pasti sama ada mereka ini tidur ketika mengikuti kelas pemanduan berhemah sebelum memperoleh lesen memandu atau mungkin ada nyawa simpanan di rumah sehingga tidak takut memotong di garisan berkembar walaupun tidak dapat melihat dengan jelas kenderaan yang datang dari arah bertentangan.

Sikap penunggang motosikal terutamanya penunggang p-hailing yang gemar melanggar lampu isyarat merah juga boleh mengundang kemalangan dengan mudah.

Artikel Berkaitan:

Ingatlah kita mencari rezeki untuk keluarga tersayang dan mereka menanti kepulangan kita dengan selamat. Usah sangat dikejar trip, tidak ada beza jika kita lewat lima minit hanya kerana mematuhi undang-undang di persimpangan lampu isyarat.

Sikap pengguna jalan raya yang Merak Jalanan boleh saksikan dengan mudah setiap hari ialah tidak menggunakan lampu isyarat atau signal, Signal adalah salah satu cara berkomunikasi di atas jalan raya memberitahu sama ada kita mahu menukar loronng atau membelok memasuki simpang.

Pemandu di belakang atau dari arah bertentangan tidak ada kuasa telepati yang dapat membaca fikiran kita yang mahu membelok atau menukar lorong. Signal adalah cara kita memberitahu apa yang kita hendak lakukan sekali gus dapat mengelak terjadinya kemalangan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!